Elakkan projek ECER jadi `gajah putih’

Abdul Latiff Abdul Rahman
- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman, mahu kerajaan memastikan projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) tidak menjadi `gajah putih’ selepas siap nanti.

Sehubungan itu, katanya projek yang dilaksanakan perlu menepati hasrat dan perancangan asal yang ditetapkan.

- Advertisement -

“Saya risau seandainya projek yang baik ini akan menjadi gajah putih selepas siap nanti,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Pindaan) 2022 Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Abdul Latiff juga meminta kerajaan menyatakan bilangan projek ECER yang dilaksanakan di Kelantan, meliputi bilangan projek sudah siap, sedang dilaksanakan dan belum dilaksanakan..

Selain itu, beliau mahu kerajaan menyatakan status terkini Projek Agropolitan Kelantan Selatan di Gua Musang, Eko Pelancongan Lancang-Kuala Lipis- Gua Musang-Kuala Krai, Pelancongan Tanah Tinggi Pos Sigar dan pembangunan industri Kelah di Bachok.

Ahli Parlimen Kuala Krai berpandangan bahawa kerajaan perlu menjalankan kajian kebolehlaksanaan dengan lebih efektif agar sesuatu projek dapat memberi impak berterusan kepada rakyat.

“Projek yang dilaksanakan perlu mengambil kira aspek pengurusan dan penyelenggaraan selepas siap bagi memastikan kelangsungan dan kelestarian agar impaknya menjadi lebih berkesan.

“Misalnya Laman Warisan Kampung Laut, walaupun sudah dibuka, tetapi kurang mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, promosi Laman Warisan Kampung Laut perlu digiatkan agar lebih ramai rakyat mengetahui tempat itu.

Sementara itu, beliau berharap Kelantan terus diberikan peluang dan dibantu secara lebih serius, terutama apabila kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat kini berada di bawah pentadbiran yang sama.

“Kesaksamaan antara wilayah perlu lebih adil serta tiada lagi anak tiri yang akhirnya merugikan rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/7/22

- Advertisement -