Cari formula baharu hasilkan baja subsidi

Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menangani pengurusan bekalan baja dengan lebih baik jika mahu mendapatkan hasil pertanian mengikut sasaran yang ditetapkan.

Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit, berkata masalah bekalan baja lewat amat ketara pada musim ini berikutan kilang tidak dapat beroperasi selama 40 hari.

- Advertisement -

Katanya, kelewatan itu mencetuskan rungutan dalam kalangan petani memandangkan padi yang ditanam sudah menjadi kuning daunnya, tetapi bekalan baja masih belum diterima.

“Pembelian bahan mentah (urea, phospate, dan potash) mempunyai kontrak pembekalan selama setahun yang melibatkan kuantiti 60,000 sehingga 70,000 tan metrik.

“Berikutan perang antara Ukraine dan Rusia, bekalan potash tidak dapat diperolehi menyebabkan operasi pembuatan baja terhenti selama 40 hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Padi dan Beras 2022, di Dewan Rakyat, hari ini.

Sabri berkata, walaupun Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) memperolehi bekalan lain dan kilang kini memulakan operasi, kelewatan itu tetap menjejaskan bekalan baja subsidi kepada petani di seluruh kawasan utara, iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan sebahagian Perak.

Menurutnya, kelewatan bekalan baja juga akan membantutkan hasrat Kedah untuk melaksanakan tanaman padi empat kali setahun yang jika menjadi kenyataan berpotensi meningkatkan pendapatan petani.

Justeru itu, beliau berharap Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengkaji fomula menggunakan bahan mentah yang boleh diperolehi dalam negara atau jiran terdekat.

Katanya, cadangan itu dikemukakan supaya bekalan makanan tidak terganggu dengan suasana yang dihadapi dunia kini.

“Sekarang, NAFAS mendapat potash dari Kanada dengan harga dua kali ganda kerana permintaan yang tinggi. Bekalan dari Ukraine, iaitu antara pengeluar potash utama dunia pula terjejas akibat peperangan.

“Saya berharap MARDI dapat mengubah formulasi baja subsidi sekarang dengan menggunakan bahan yang boleh diperolehi dalam negara,” katanya.

Beliau juga mencadangkan pengurangan jumlah peratusan kandungan baja yang berpotensi mengurangkan kuantiti potash yang diimport.

Cadangan itu kata Sabri akan menjadikan bekalan baja dapat dibekalkan mengikut tempoh ditetapkan agar tidak mengganggu jadual tanaman petani. – HARAKAHDAILY 19/7/2022

- Advertisement -