8 syarikat minat projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Pembatalan usaha sama Syarikat ECK Group (ECK) bagi projek membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) tiada kaitan dengan tragedi aliran puing di Kampung Iboi, Gunung Inas.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penglibatan syarikat terbabit dibatal kerana gagal memenuhi syarat yang dipersetujui dalam perjanjian ditandatangani kedua-dua pihak sebelum ini.

Menurutnya usaha sama itu ditamatkan pada Mei lepas kerana syarat tidak dipenuhi ECK termasuk gagal mendepositkan yuran komitmen yang sepatutnya dijelaskan untuk pengambilan tanah.

- Advertisement -

“ECK bukan sahaja tidak memenuhi syarat-syarat perjanjian berkenaan, malah gagal mendepositkan yuran komitmen 125 peratus daripada RM2.1 bilion untuk pengambilalihan tanah.

“Syarat itu adalah perkara asas kerana apabila pengambilan tanah tidak dapat dibuat, projek itu tidak dapat dijalankan,” katanya pada sidang media selepas prapelancaran Kulim Smartparking Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) di Wisma Darul Aman di sini semalam.

Bagaimanapun Menteri Besar berkata, terdapat tujuh hingga lapan syarikat yang berminat untuk meneruskan projek KXP tersebut.

Pada Ogos 2021 kerajaan Kedah menandatangani perjanjian usaha sama dengan ECK dan melibatkan penubuhan syarikat tujuan khas (SPV) bagi membangunkan KXP.

KXP AirportCity Holdings Sdn Bhd merupakan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) yang bertanggungjawab mengendalikan pembangunan projek itu akan membuat penilaian sebelum melantik mana-mana syarikat yang layak.

“Kita akan mengadakan proses pemilihan syarikat yang paling meyakinkan kerana ini melibatkan pelaburan yang besar.

“Projek KXP tidak akan dibatalkan. Kita cari syarikat lain yang berminat untuk usaha sama baharu,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/7/2022

- Advertisement -