Aset PETRONAS di Azerbaijan lupus: Dakwaan waris Sultan Sulu rampas tak berasas

PETRONAS akan terus mempertahankan kedudukan syarikat itu dari segi undang-undang berhubung isu dakwaan waris Sultan Sulu merampas asetnya di Azerbaijan. (FOTO Business Turkmenistan)
- Advertisement -


Oleh YUSMAN AWANG

KUALA LUMPUR: PETRONAS mengesahkan sudah melupuskan dua asetnya di Republik Azerbaijan dan menganggap tindakan yang diambil terhadapnya berhubung isu waris Sultan Sulu yang didakwa merampas asetnya bernilai AS$2 bilion (RM8.87 bilion) di negara itu sebagai tidak berasas sama sekali.

Syarikat gergasi minyak Malaysia itu dalam kenyataan medianya menjelaskan bahawa kedua-dua anak syarikat itu, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) S.à r.l. dan Petronas South Caucasus S.à r.l. telah melupuskan kesemua aset di Republik Azerbaijan dan hasil daripada pelupusan berkenaan telahpun dipulangkan (“repatriated”) dengan sewajarnya.

“PETRONAS menganggap tindakan yang diambil terhadapnya sebagai tidak berasas dan akan terus mempertahankan kedudukan PETRONAS dari segi undang-undang dalam hal ini,” tegas kenyataan tersebut.

- Advertisement -

PETRONAS mengeluarkan kenyataan media tersebut pada malam Selasa merujuk kepada laporan media Financial Times bertajuk ‘Petronas subsidiaries seized as lawyers press $15bn claim on Malaysia’.

Sehubungan itu, PETRONAS mengesahkan bahawa dua anak syarikatnya di Azerbaijan berkenaan telah menerima notis ‘Saisie-arret’, susulan laporan media bahawa aset dua syarikat terbabit dirampas waris Kesultanan Sulu.

“Kami mengesahkan bahawa kedua-dua anak syarikat dalam laporan tersebut telah menerima notis ‘Saisie-arret’ pada 11 Julai 2022,”  ujar kenyataan tersebut yang difahamkan, notis ‘Saisie-arret’ adalah  bermaksud notis penyitaan.

Lapangan Gas Shah Deniz di Azerbaijan. (FOTO Caspian News)

Terdahulu akhbar dalam talian, Business Turkmenistan pada 8 April 2022 yang memetik kenyataan media daripada PETRONAS telah melaporkan bahawa Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) menutup cawangannya di Azerbaijan.

“Pada musim luruh lalu, syarikat Rusia, LUKOIL bersetuju untuk membeli pegangan PETRONAS (sebanyak 15.5 peratus) dalam lapangan atau medan gas terbesar Azerbaijan Shah Deniz di Laut Caspian dengan harga AS$2.25 bilion.

“Tetapi pada akhirnya, syarikat minyak Azerbaijan SOCAR membeli 4.35 peratus daripada Petronas, dan British BP – 1.16 peratus. LUKOIL hanya mendapat 9.99 peratus untuk kira-kira AS$1.45 bilion. Perjanjian itu ditutup pada Januari tahun ini.

“Oleh itu, projek Shah Deniz melibatkan BP plc (29.99 peratus, pengendali), LUKOIL (19.99 peratus), TPAO (19 peratus), SOCAR (14.35 peratus), NICO (10 peratus) dan SGC (anak syarikat SOCAR, – 6.67 peratus),” ujar laporan Business Turkmenistan.


Lapangan Gas Shah Deniz terletak di luar pantai Semenanjung Absheron, 70 kilometer dari Baku, Azerbaijan. (FOTO The Business Year)

Sementara Defense Security Asia pada 28 Oktober 2021 melaporkan bahawa pada pertengahan bulan tersebut, PETRONAS mengesahkan bahawa ia telah mencapai persetujuan dengan LUKOIL daripada Rusia untuk menjual kepentingannya dalam sebuah lapangan gas  di  Azerbaijan yang dianggarkan dianggarkan bernilai RM9.41 billion (AS$2.25 bilion).

Kepentingan Petronas di Azerbaijan ketika itu turut meliputi keseluruhan 15.5 peratus pegangan syarikat minyak dan gas negara dalam projek gas asli di Shah Deniz yang terletak di Laut Kaspia.

Financial Times yang berpangkalan di London, semalam melaporkan bahawa dua anak syarikat PETRONAS yang diperbadankan di Luxembourg berkenaan didakwa telah dirampas oleh waris kesultanan Sulu yang sebelum ini menuntut sebanyak AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) dari Malaysia dengan perjanjian yang didakwa ditandatangani 144 tahun lalu.

Syarikat Rusia, LUKOIL membeli pegangan PETRONAS sebanyak 15.5 peratus dalam lapangan gas terbesar Shah Deniz di Laut Caspian, Azerbaijan dengan harga AS$2.25 bilion. (FOTO Russian Business Today)

“Peguam yang mewakili waris Sultan Sulu yang sebelum ini mendakwa memegang hak terhadap tanah di negeri Sabah berkata bahawa bailif di Luxembourg merampas syarikat induk bagi pihak pelanggan mereka pada Isnin (11 Julai).

Dua anak syarikat terbabit yang didaftarkan di Luxembourg itu ialah Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, yang menguruskan kepentingan gas syarikat tenaga milik PETRONAS, dilaporkan bernilai lebih daripada AS$2 billion (RM8.87 bilion).

Langkah itu, yang pertama kali dilaporkan, adalah sebahagian daripada usaha undang-undang yang dilancarkan pada 2017 oleh pewaris Sultan Sulu untuk memenangi pampasan ke atas tanah di Sabah yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878, sebelum penemuan besar sumber tenaga khususnya petroleum di kawasan tersebut. – HARAKAHDAILY 13/7/2022

- Advertisement -