KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Terengganu sedang melakukan siasatan berkaitan kejadian 11 ekor lembu ditemukan mati di Kampung Sungai Lekar, Kuala Nerus.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, tiada sebarang laporan diterima dari penternak berhubung insiden itu.
Beliau menerusi catatan di Facebooknya malam tadi menyatakan lembu-lembu itu disyaki diseludup masuk dari luar.
Semalam, Bernama melaporkan bangkai 11 lembu dalam keadaan berulat ditemukan di sebuah kawasan terbiar di Kampung Sungai Lekar yang dipercayai dibuang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Tinjauan mendapati bangkai lembu-lembu itu berada dalam keadaan bergelimpangan, sudah kembung, berulat dan dihurungi lalat. – HARAKAHDAILY 13/7/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!