Banjir di Baling: CEO Harakah serah sumbangan TKH

- Advertisement -

BALING: Tragedi banjir lumpur yang melanda di 12 kampung dengan melibatkan hampir 700 penduduk telah menghadirkan keprihatinan orang ramai menerusi sumbangan bagi meringankan beban mangsa.

Tabung Kemiskinan Harakah (TKH) turut menerima kepercayaan banyak pihak yang telah menghulurkan sumbangan mereka untuk diagihkan oleh agensi media rasmi PAS, Harakah itu kepada penduduk terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harakah, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin sendiri turun menemui dan menyantuni keluarga-keluarga mangsa dan menyerahkan sumbangan tersebut di Pusat Pemindahan Sementara, di sini kelmarin dahulu.

Sebanyak RM20,000 disampaikan melalui ADUN Kuala Ketil, Mejar (B) Mansor Zakaria selaku Ketua Operasi PAS bagi bencana tersebut yang bertindak menyelaras sokongan kepada mangsa-mangsa dari pelbagai pihak.

Kehadiran Ir Ts Khairil secara konvoi motosikal bersama Alternative Riding Club (ARC) bermula dari Ipoh itu turut disertai anggota ARC Perak, Pulau Pinang dan Kedah sendiri di mana juga telah memberi khidmat penyelenggaraan motosikal penduduk setempat.

Beliau juga telah dibawa melawat ke kawasan sekitar bencana dan melihat operasi pembersihan yang telah selesai dilaksanakan agensi-agensi dan badan sukarelawan, termasuk meninjau jambatan sementara didirikan Jabatan Kerja Raya dan Angkatan Tentera Malaysia.

Menurut Khairil yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat, TKH hanya menyampaikan amanah penyumbang atas hajat mereka untuk turut sama bersolidariti kepada situasi dialami mangsa-mangsa dengan harapan berkongsi beban ditanggung.

Turut sama mengiringi beliau semasa lawatan dan sumbangan itu adalah Ketua Penerangan PAS Kawasan Baling, Ustaz Mohamad Roshidi Md Aroff. – HARAKAHDAILY 12/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -