Wanita hina Islam ditahan, direman 3 hari

Dato' Noorsiah Mohd Saaduddin
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang disyaki menghina Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail di sini, ditahan malam tadi.

Suspek wanita berusia 26 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, di Jalan Gasing, Petaling Jaya.

- Advertisement -

Setiausaha Polis Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Deputi Komisioner Dato’ Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata suspek wanita terbabit direman selama tiga hari bermula hari ini hingga Selasa.

“Suspek ketika ini, ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields bagi membolehkan siasatan lanjut diteruskan,” katanya.

Siasatan USJT dijalankan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan, iaitu atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

Polis juga menyiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Dalam video selama 54 saat dengan tajuk “acara menghina Islam?” yang tular di media sosial, seorang wanita menanggalkan pakaian dan tudungnya di hadapan penonton. Sebelum itu, dia mengaku sebagai orang Melayu beragama Islam, malah hafaz ayat al-Quran.

Perbuatan wanita itu kemudiannya mendapat sorakan daripada penonton dalam kelab tersebut.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pula menyiasat mengikut Seksyen 7 Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 iaitu menghina atau menyebabkan dipandang hina dan lain-lain, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – HARAKAHDAILY 10/7/22

- Advertisement -