9 Zulhijah hari kebesaran di Kelantan

- Advertisement -

BACHOK: Kerajaan Kelantan sejak era pentadbiran Tuan Guru Nik Abdul Nik Mat membesarkan sambutan Hari Wukuf dengan mengadakan pelbagai program sebagai tanda memperingati hari kebesaran umat Islam.

Malah mulai tahun ini kerajaan negeri menjadikan 9 Zulhijah sebagai cuti umum untuk membolehkan umat Islam melaksana ibadat termasuk berpuasa sempena Hari Wukuf di Padang Arafah, Makkah.

Pagi semalam sambutan Hari Wukuf diadakan di 14 lokasi di Kelantan pada program anjuran Urusetia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Negeri.

- Advertisement -

Di Bachok lebih 500 penduduk hadir pada program Sambutan Penghayatan Hari Wukuf Parlimen Bachok yang diadakan di Kompleks Pendidikan Islam (KPI) Kampung Badak.

Ahli Parlimen Bachok Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, 10 hari terbaik pada akhir bulan Ramadan ialah Lailatulqadar.

Manakala katanya 10 hari terbaik pada bulan Zulhijjah ialah hari yang ke-9 Zulhijjah iaitu Hari Wukuf di Padang Arafah.

“Setelah dua tahun sunyi akibat pandemik, program ini diteruskan lagi oleh kerajaan negeri melalui UPKN dengan objektif supaya semua lapisan masyarakat di Kelantan dapat menghayati Hari Wukuf,” katanya pada program tersebut semalam.

Pada program itu ceramah Hari Wukuf disampaikan Pengarah Yayasan Amanah Tok Kenali (YTK) Zulqarnain Hassan.

Turut hadir Adun Tawang Dato Hassan Mohamood, Adun Jelawat Abdul Azziz Kadir, Adun Pantai Irama Mohd Huzaimy Che Husin dan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff.

Zulqarnain berkata, Hari Arafah sebagai hari memperingati hari kiamat di mana manusia dikumpulkan di Padang Arafah selepas dibangkitkan semula.

“Perhimpunan itu menunjukkan manusia adalah sama dan tiada perbezaan warna kulit, pangkat dan harta.

“Ia sebagai lambang penyatuan ummah dan keempat sebagai mengingati peristiwa penting dalam sejarah haji, manusia wajib menghormati nyawa, harta dan maruah di antara satu sama lain.

“Ia juga sebagai hari umat Islam memohon dijauhkan Allah daripada azab api neraka,” katanya. – UPKN

- Advertisement -