Pemuda PAS kecam tindakan wanita menghina Islam

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Kuala Kangsar mengecam sekeras-kerasnya tindakan seorang wanita atas perbuatan menanggalkan pakaian Muslimah di hadapan khalayak di sebuah kelab komedi.

Dalam satu rakaman video yang telah dimuatnaik oleh seorang individu telah memaparkan seorang wanita berpakaian Muslimah mengaku berasal dari Kuala Kangsar, beragama Islam dan menghafal 15 juzuk al-Quran. 

Setelah pengakuan tersebut dibuat, beliau telah membuka tudung dan pakaian Muslimah yang dipakainya di hadapan para penonton.

Perbuatan tersebut dilihat seolah-olah satu penghinaan terhadap ajaran agama Islam dan menjatuhkan martabat wanita Muslimah. 

Ditambah pula ianya tersebar beberapa hari sebelum sambutan perayaan umat Islam iaitu Aidil Adha. Ianya sangat mengguris hati dan perasaan umat Islam.

Firman Allah S.W.T dalam surah al-An’am ayat 70:

- Advertisement -

وَذَرِ ٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُوا۟ دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَا ۚ وَذَكِّرْ بِهِۦٓ أَن تُبْسَلَ نَفْسٌۢ بِمَا كَسَبَتْ لَيْسَ لَهَا مِن دُونِ ٱللَّهِ وَلِىٌّ وَلَا شَفِيعٌ وَإِن تَعْدِلْ كُلَّ عَدْلٍ لَّا يُؤْخَذْ مِنْهَآ ۗ أُو۟لَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ أُبْسِلُوا۟ بِمَا كَسَبُوا۟ ۖ لَهُمْ شَرَابٌ مِّنْ حَمِيمٍ وَعَذَابٌ أَلِيمٌۢ بِمَا كَانُوا۟ يَكْفُرُونَ

“Dan jauhkanlah dari orang-orang yang menjadi agama mereka sebagai main-main dan senda gurau, dan mereka telah ditipu oleh kehidupan dunia. Peringatkanlah (mereka) dengan al-Quran itu agar masing-masing diri tidak dijerumuskan ke dalam neraka, kerana perbuatannya sendiri. Tidak akan ada baginya pelindung dan tidak pula memberi syafaat selain daripada Allah. Dan jika ia menebus dengan segala macam tebusanpun, nescaya tidak akan diterima itu daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan ke dalam neraka. Bagi mereka (disediakan) minuman dari air yang sedang mendidih dan azab yang pedih disebabkan kekafiran mereka dahulu.” 

Oleh yang demikian, Dewan Pemuda PAS Kuala Kangsar mendesak agar pihak berkuasa agama dapat menjalankan siasatan dan tindakan sewajarnya wajib diambil ke atas wanita tersebut supaya perkara yang sama tidak berulang lagi.

MUJAHIDIN MUSA
Ketua Pemuda
Dewan PAS Kawasan Kuala Kangsar – HARAKAHDAILY 9/7/2022

- Advertisement -