B-19 AFF 2022: Malaysia layak ke separuh akhir

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

Malaysia menang tipis 4-3 mengatasi Timor Leste, namun sudah mencukupi untuk layak ke separuh akhir Kejuaraan Bawah 19 Tahun AFF 2022.

Skuad negara mengesahkan tempat di peringkat kalah mati selepas menang dalam perlawanan ketiga Kumpulan B di Stadium Gelora Bung Karno Madya, Jakarta, malam ini.

- Advertisement -

Seawal minit ke-9, Malaysia mendahului menerusi jaringan Najmudin Akmal Kamal Akmal, tetapi dua minit kemudian, Timor Leste menyamakan kedudukan melalui Cristevao Fernandes.

Harimau Muda kembali mendahului menerusi Adam Farhan Faizal pada minit ke-15.

Pada separuh masa kedua, Malaysia melebarkan jurang menerusi Aliff Izwan Yuslan pada minit ke-52. Namun, Timor Leste mengurangkan defisit menerusi Mario Donasio pada minit ke-54.

Adam menjaringkan gol keduanya dalam perlawanan itu dan gol keempat Malaysia pada minit ke-62 dengan penyudah luar biasa, tetapi tempoh selepas itu cukup menggusarkan Malaysia.

Pemain Timor Leste beri cabaran getir kepada Harimau Muda
Malaysia terpaksa bertahan pada akhir babak kedua

Ini gara-gara kapten pasukan, Ahmad Aysar Hadi Shapri, dilayangkan kad merah pada minit ke-65 selepas menerima kuning kedua kerana cabaran terburu-buru.

Timor Leste mengambil kesempatan kelebihan seorang pemain dengan jaringan pada minit ke-75 menerusi Donasio sekali lagi, tetapi Malaysia dapat mengekalkan kedudukan untuk mencatat kemenangan kedua.

Laos adalah pasukan pertama layak dan kekal sebagai pendahulu kumpulan selepas membenam saki baki cabaran Singapura 3-1 dalam perlawanan awal. Laos meraih sembilan mata, manakala Malaysia di tangga kedua dengan tujuh mata.

Pasukan kendalian Hasan Sazali Waras, bakal menamatkan kempen kumpulan berdepan Laos di Stadium Patriot Candrabhaga, Jakarta pada 11 Julai – HARAKAHDAILY 9/7/22.

- Advertisement -