PAS istiqamah menjunjung integriti

- Advertisement -

SAYA kongsikan tulisan Puan Liyana Marzuki berkenaan isu ketuanan Melayu:

https://www.facebook.com/100045124192657/posts/168881594625979/

Tulisan beliau sangat panjang. Dalam keseluruhan tulisan beliau, ia disokong dengan link-link yang berkaitan. Tidak dinafikan, ia hasil nukilan golongan bijak pandai. Pada asasnya yang difahami, beliau juga mahukan sebuah negara yang diterajui oleh golongan yang sebangsa dan seagama dengan beliau.

Tetapi yang lebih menjadi keutamaannya ialah sebuah kerajaan yang mempunyai nilai dan integriti yang tinggi, tanpa rasuah, keadilan sama rata kepada semua. Dan untuk itu, beliau lebih sanggup memilih sebuah kerajaan yang dipimpin oleh bukan-Melayu Islam tetapi mempunyai nilai integriti yang dinyatakan itu.

Dalam beliau mahu menjelaskan pendiriannya itu, beliau juga telah menyentuh berkenaan peranan PAS dalam kerajaan sekarang. Suara PAS, tidak seperti dahulu lagi, tiada lagi kidung PAS berkenaan ketuanan Melayu, sijil UEC dan lain-lain lagi, sekali gus memberi muka kepada MCA yang mana dahulu, PAS berjuang menentang DAP kerana ketuanan Melayu dan tidak dengan DAP. Tetapi PAS sebenarnya konsisten membuat bantahan:

https://harakahdaily.net/index.php/2021/07/15/jawatankuasa-khas-dicadang-nilai-semula-iktiraf-sijil-uec/

Namun jika mahu dibincangkan, dalam helah berpolitik, PAS sudah secara istiqamah menyatakan bahawa PAS akan bertindak bagi kepentingan Islam. Jika duduk di persimpangan pilihan kemudaratan, PAS akan memilih mana yang kurang mudaratnya pada Islam. Dalam hal ini, jelas Umno dan BERSATU lebih kurang mudaratnya berbanding DAP. Ia sudah beberapa kali berlaku PAS terpaksa memilih.

Jika PAS menarik sokongan, maka PN akan jatuh dan pastinya PH kembali berkuasa yang mana bagi PAS, ia adalah mudarat terbesar ketika ini. MCA atau Umno mahupun BERSATU juga cerdik dan mempunyai pemikir dan agenda masing-masing. Ketika terdesaknya seseorang, maka akan ditekan supaya menerima tawaran dan kehendak mereka. 

Sama juga seperti DAP, PKR dan PAN yang dengan wajah girang, ketawa, mencium tangan menerima Tun sebagai Perdana Menteri dalam waktu mereka terdesak untuk menang PRU14 dahulu, musuh utama Anwar. Ini adalah biasa dalam mencari laba politik kumpulan mereka. Kenapa pula PAS dikecam jika terpaksa menelan beberapa kepahitan perbuatan MCA atau Umno atas sebab yang MCA dan Umno tahu yang PAS tidak akan kembali kepada DAP, sekurang-kurangnya buat masa ini?

Sambil Puan Liyana menyelak kejahatan BN, beliau menyinggung PAS. Tiada kehinaan kepada PKR, tiada caci maki kepada DAP dan juga PAN, walhal perkara yang sama terjadi kepada semua parti politik. Hanya yang dinyatakan ialah DAP tidak boleh berbuat sesuka hati di bawah pemerintahan Tun sebagaimana dakwaan yang dikatakan DAP menguasai kerajaan. Bagaikan DAP mangsa keadaan. Adakah itu tanda kemuliaan DAP? Bagi saya, itu adalah kehebatan Tun mengekang DAP.

Tetapi semenjak tahun 2016, DAP masih belum menyaman PAS atas tuduhan DAP menerima dana dari Israel sebuah kerajaan Zionis, Puan Liyana tidak masukkannya sekali. Kecuali Puan Liayana tiada masalah dengan Israel. Tetapi PAS, jelas, kami menurut arahan Allah dalam al-Quran untuk memusuhi Yahudi Zionis:

https://www.roketkini.com/2016/01/02/fitnah-isu-dana-israel-dap-pertimbang-tindakan-saman/

Saya agak curiga di sini apabila PAS dikutuk kerana berubah pendirian. Tetapi Puan Liyana gagal menjelaskan kepada semua yang PAS tetap pendiriannya dengan memusuhi rasuah dan telah membuktikan di Kelantan, tiada rasuah dalam pentadbiran selama lebih 30 tahun. Sedangkan inilah inti paling utama beliau perjuangkan dan sanggup menerima pemerintahan bukan-Melayu Islam di Malaysia, iaitu sebuah kerajaan berintegriti. Pelikkan?

PAS Terengganu dan Kedah juga menuruti Kelantan, terbukti sewaktu mereka mengetuai kerajaan pada tahun 1999 dan 2008 dahulu. Puan Liayana, gagal memberikan link kejayaan kerajaan-kerajaan PAS ini. Bukan hanya pembangunan, tetapi yang lebih utama, integriti:

https://www.sinarharian.com.my/article/207771/BERITA/Politik/32-tahun-Pas-Kelantan-kekal-rekod-tanpa-rasuah

Lebih mengecewakan lagi, beliau seorang peguam, bekas orang besar dalam kerajaan, sepatutnya lebih tahu berkenaan nilai sebuah integriti. Tetapi apa sebenarnya yang bersarang di minda beliau, hanya beliau yang mengetahui. Beliau jelas gagal menzahirkan tulisan beliau kepada hakikat yang sebenar. Hanya kebencian, tanpa kebenaran terhadap PAS.

Masalah Puan Liyana dengan Umno mahupun Najib secara peribadi, ia bukan minat dan masalah kami. Tetapi apabila puan cuba menyerang PAS dengan cara sebegini, maka kami akan menerangkan kembali.

MOHD NASIR ABDULLAH
6 Julai 2022 – HARAKAHDAILY 6/7/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -
- Advertisement -