OSH Profesional

- Advertisement -

PROFESION lebih mudah difahami sebagai pekerjaan. Profesional pula merujuk kepada individu yang melakukan pekerjaan tersebut sebagai suatu pekerjaan tetap dan sumber pendapatan utamanya. Profesionalisma adalah tahap kecekapan dan akauntabiliti yang seharusnya didukung oleh individu profesional tersebut.

Dalam konteks keselamatan dan kesihatan pekerjaan, jawatan Safety and Health Officer (SHO) adalah satu profesion. Seseorang yang berjawatan sebagai SHO adalah seorang profesional. Contoh yang sama seperti seorang guru, doktor, jurutera dan seumpamanya. Namun masih ramai yang membataskan pengertian profesional hanya kepada beberapa profesion tertentu sahaja seperti arkitek, jurutera, doktor, peguam, akauntan dan seumpamanya. 

Oleh kerana di Malaysia tiada badan khas yang berautoriti untuk membuat pengiktirafan profesional kepada SHO, maka satu usaha telah diambil untuk menuju ke arah ini. Pihak MSOSH Msosh MC yang terdiri dari pengamal-pengamal OSH yang pakar dan berpengalaman telah mengambil inisiatif membentuk kerangka laluan profesional OSH melalui pengiktirafan oleh MBOT. Satu usaha yang patut dipuji. Usaha ini juga timbul dari hasrat industri di dalam kajian yang dijalankan oleh NIOSH. 

Antara kompetensi dan pengetahuan yang perlu ada pada SHO yang setara dengan ‘safety professional‘ antarabangsa ialah seperti berikut:

a. Mengenalpasti masalah dan analisis:
Menunjukkan keupayaan mengenalpasti masalah dan menjalankan analisa.

b. Membangunkan dan melaksanakan penyelesaian:
Menunjukkan keupayaan membangunkan polisi, melaksanakan perancangan dan menyelesaikan risiko.

c. Latihan, maklumat dan komunikasi:
Kemampuan mengurus dan menyampaikan latihan, maklumat dan komunikasi.

d. Pemeriksaan dan kajian:
Kemampuan mengurus dan menjalankan pemeriksaan dan kajian.

e. Prosedur kecemasan dan pemulihan:
Menunjukkan keupayaan membangunkan prosedur kecemasan dan pemulihan.

f. Tugas berkaitan pembangunan undang-undang:
Menunjukkan keterlibatan di dalam mana-mana jawatankuasa pembangunan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) untuk negara.

g. Pengurusan Pengetahuan:
Kemampuan dari segi penambahan pengetahuan dan profesional berkaitan KKP.

h. Pengurusan dan kewangan:
Menunjukkan keupayaan merancang dan menyediakan laporan KKP dari segi aktiviti dan kewangan.

Perkara yang amat penting juga adalah etika profesional. Etika profesional adalah nilai-nilai atau tingkah laku murni yang harus dihayati oleh individu mengikut profesion masing-masing. Ia menjelaskan tindakan-tindakan betul yang perlu diikuti dan tindakan-tindakan salah yang perlu dihindari. Tujuan etika diadakan adalah untuk mengekalkan integriti moral individu profesional!

TS. HAJI SHAHRONIZAM NOORDIN
Pengamal 
Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan – HARAKAHDAILY 6/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -