Junjung titah Sultan Selangor agar pemimpin politik Melayu bersatu

- Advertisement -

DARI dulu lagi saya perhatikan Tuanku Sultan Selangor ini merupakan Raja yang lain dari yang lain-lain. 

Tuanku walaupun sedar peranannya sebagai Raja Berperlembagaan, namun dalam situasi yang perlu Tuanku tidak akan teragak-agak untuk meluah dan menzahirkan pandangannya secara terbuka, sesuatu yang jarang dilontarkan pihak yang berada di Istana. Tetapi Tuanku lakukan juga saya yakin lantaran prihatinnya Tuanku pada nasib, kebajikan dan masa depan rakyat dan negeri Baginda. 

Sememangnya kerabat di Raja Selangor sejak turun-temurun silih-berganti sentiasa mengambil berat dari hal kepentingan rakyatnya dan Tuanku Sultan hari ini tidak terkecuali.

Hari ini walau bersemayam di Istana namun Tuanku mendengar dan merasakan keluh-kesah serta denyut nadi rakyatnya.

Masalah yang menimpa rakyat sentiasa diperhati dan dipantau Tuanku. Demi rakyatnya Tuanku akan gunakan apa sahaja kesempatan untuk menyatakan pandangan dan isi hatinya.

Filem ‘Mat Kilau – Kebangkitan Pahlawan’ contohnya Tuanku gunakan sebagai platform untuk menyuntik kesedaran dalam minda rakyatnya. Filem ini kini merupakan ‘box office’ semasa dan telah mencecah kutipan menghampiri RM40 juta sejak tayangannya bermula 23 Jun 2022 lalu.

Menyedari ramai telah menontonnya Tuanku dalam titahnya menyeru rakyatnya menginsafi bahawa kekuatan sesuatu bangsa sebagaimana dipaparkan filem ini terletak kepada semangat perpaduan dan pegangan kepada agama Islam.

Sesebuah tamadun dan negara boleh runtuh seandainya kita tidak bersatu-padu dan berkerjasama di dalam mempertahankannya.

Tuanku nampak bahawa gejala perpecahan sedang melanda umat Melayu terutama di kalangan pimpinannya dan ia jika tidak ditangani akan mengancam perpaduan dan kehidupan rakyat. Rugi bangsa dan rugi negara.

Justeru Tuanku menitahkan sebagaimana dituntut al-Quran surah Ali Imran ayat 103, “Dan berpegang teguhlah kamu pada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai- berai…” agar para pemimpin politik Melayu segera menghentikan perpecahan dan permusuhan, cari jalan berdamai dan bersatu-padu demi mengembalikan keharmonian hidup rakyat dan kestabilan politik.

Titah ini wajar diinsafi semua pimpinan Melayu khasnya, bahawa perpecahan hanya merugikan agama, bangsa dan negara dan sebaliknya kesatuan dan permuafakatan akan membina kekuatan sehingga berupaya menjamin keadilan dan kesejahteraan buat semua.

Buang yang keruh, ambil yang jernih, jangan menang sorak kampung tergadai, jangan kalah jadi abu menang jadi arang, jangan angkara berbalah sesama sendiri kaduk diam-diam naik junjung.

Semoga Allah S.W.T memberkati keprihatinan dan kesungguhan Tuanku yang mahu melihat bangsa dan agamanya kembali gemilang serta negara tercinta aman dan makmur.

Allah Lanjutkan Usia Tuanku
Rakyat Mohon Restu
Bawah Duli Tuanku
Bahagia Selama-lamanya
Aman Dan Sentosa
Duli Yang Maha Mulia

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 6/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -