KDN aktifkan Op Bantu Baling

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) telah serta merta mengaktifkan #OPBANTU Baling pada 4 Julai 2022 bagi mengkoordinasi segala bentuk bantuan dan operasi menyelamat mangsa tragedi banjir di Baling, Kedah.

Op Bantu Baling ini diketuai sendiri oleh Ketua Polis Negeri Kedah dan turut melibatkan Jabatan dan Agensi di bawah KDN yang lain antaranya Polis Diraja Malaysia (Royal Malaysia Police), RELA Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, serta Jabatan Penjara Malaysia.

Seramai 164 pegawai serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diatur gerak manakala sebanyak 44 aset kenderaan serta peralatan kecemasan PDRM telah diaturgerak ke lokasi bencana, termasuk 4 buah bot, 8 buah lori, 3 buah kenderaan pacuan empat roda, 2 buah van dan 10 buah motokar.

Sementara itu, seramai 46 anggota RELA juga dikerahkan untuk membantu mangsa banjir di kawasan yang terlibat dan ditugaskan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Laporan terperinci mengenai perkembangan kerja-kerja menyelamat dan membantu mangsa banjir akan dipantau secara harian oleh Kementerian Dalam Negeri.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat berhubung situasi banjir boleh menghubungi Pusat Kawalan Malaysia (MCC) PDRM di talian 03-2266 3333 / 03-2266 3444 / 03-2266 3451 atau talian MERS 999.

Kementerian Dalam Negeri merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa tragedi banjir di Baling dan berharap agar semua pihak tabah menghadapi dugaan yang menimpa.

DATO‘ SERI HAMZAH ZAINUDIN
Menteri Dalam Negeri – HARAKAHDAILY 6/7/2022

Advertisement