Kedah diuji sekali lagi dengan banjir lumpur

- Advertisement -

Oleh DATO’ SERI MUHAMMAD SANUSI MD NOR

KEDAH
diuji sekali lagi dengan banjir dari aliran sungai yang menyerbu deras secara tiba-tiba, tidak sempat berbuat apa-apa. Tahun lalu di Yan, kini di Baling pula. Kedua-duanya dikatakan serbuan kepala air. Beberapa rumah hanyut, ada yang bersekali dengan tiga orang penghuni yang masih belum ditemui. Mereka dikategorikan sebagai mangsa yang ‘masih hilang’.

Video-video dan gambar kejadian jam 5 petang 4 Julai 2022 yang tular di media sosial menceritakan sebahagian bencana alam yang perit, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Gerakan Search and rescue agensi kerajaan (polis, bomba, APM, rela) dengan bantuan NGO, Pusat Khidmat Wakil Rakyat, masih berjalan, tetapi keadaan yang gelap menyukarkan gerakan. Pagi esok pasti ramai lagi yang ingin membantu.

Terima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Baling dan agensi lain yang membantu membuka dan menguruskan pemindahan sementara di beberapa lokasi. Terima kasih PPD, Pengetua, guru besar dan pihak sekolah yang memberikan kerjasama sepenuhnya. 3 buah sekolah di kawasan terbabit ditutup untuk beberapa hari.

- Advertisement -

Pagi esok jam 9 pagi, satu mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah (JPBN) akan diadakan di Pejabat Daerah Baling. Dato’ Paduka Setiausaha Kerajaan Negeri selalu Pengarah JPBN akan mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Pada jam 10 pagi, Ketua Polis Daerah selaku Pengarah Operasi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) akan memberikan taklimat awal operasi SAR dan situasi semasa kepada media.

Saya telah menghubungi beberapa orang YB Menteri dan KSU Kementerian untuk memaklumkan situasi semasa di lokasi.

Saya telah merujuk Pengarah Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Kedah untuk menentu-sahkan bidang kuasa mengistiharkan Darurat Bencana berdasarkan tahap I, II atau III berdasarkan Arahan MKN20.

Seboleh-bolehnya kawasan yang kritikal di beberapa kampung terbabit diistiharkan sebagai kawasan Darurat Bencana tahap I atau II selari dengan situasi dan bidang kuasa yang ada.

Hal ini akan diputuskan dalam mesyuarat pagi esok 5 Julai 2022.

Menurut MKN20, kuasa mengistiharkan Darurat Bencana (tahap III) terletak di tangan YAB Perdana Menteri, atas nasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP).

Bagi Darurat Bencana Tahap I, ia boleh diistiharkan oleh Pegawai Daerah selaku Pengarah JPBD. Peritiharan Darurat Bencana amat penting bagi mempercepatkan operasi bantuan agensi negeri dan persekutuan (belanja kecemasan) berdasarkan bajet sedia ada di agensi masing-masing.

Perbelanjaan atas sebab kecemasan akan memudahkan agensi segerakan semua langkah yang perlu untuk memperbaiki infrastruktur yang rosak dan memulihkan keperluan dan kemudahan asas penduduk terlibat.

Saya dimaklumkan pihak bomba dan penyelamat akan turut menggunakan khidmat helikopter untuk meninjau keadaan daripada udara untuk memberi gambaran lebih jelas kesan dan punca-punca bencana.

Pengarah Jabatan Parit dan Saliran (JPS) yang turut berada di lokasi malam ini memaklumkan bahawa hujan lebat yang mencurah di Daerah Baling petang semalam menyebabkan air sungai melimpah. Taburan hujan yang disukat di semua pusat cerapan sepanjang sungai menunjukkan kapasiti hujan yang banyak.

Dakwaan penduduk yang mengesyaki beberapa tandak tadahan air masyarakat di Gunung Inas telah pecah juga akan disiasat oleh agensi terbabit dan Jabatan Perhutanan untuk menentukan kesahihannya. Buat masa ini ia belum dapat disahkan.

Saya doakan semua mangsa dapat bersabar dengan ujian ini. Semua agensi dan sahabat handai akan terus membantu. Kita semua adalah bersaudara…– HARAKAHDAILY 5/7/2022

Tulisan ini diambil daripada catatan di Facebook beliau, malam tadi.

- Advertisement -