Bantuan Musa’adah JAKIM untuk mangsa banjir lumpur

Foto media sosial.

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, beliau mengikuti laporan media yang melaporkan kejadian banjir lumpur melanda beberapa kawasan di daerah Baling, Kedah.

‘Dari lubuk hati yang dalam, saya berasa amat dukacita dan bersimpati dengan para penduduk yang terlibat dengan ujian tersebut,” ujarnya dalam kenyataan media, malam tadi. 

Advertisement

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk segera menyelaras bantuan Musa’adah JAKIM bersama-sama pihak berkuasa negeri Kedah bagi membantu para penduduk yang terkesan dan terjejas.

Katanya, JAKIM dan agensi-agensi hal ehwal Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang berkaitan telah diarah turun ke lapangan membantu pihak berkuasa negeri.

“Didoakan semua pihak yang terlibat dikurniakan kesabaran serta ketabahan menghadapi ujian ini. 

“Saya menyeru seluruh masyarakat termasuk para jemaah haji di Makkah bersama-sama mendoakan keselamatan dan kesejahteraan buat negara kita,” ujarnya yang kini berada di Makkah Al-Mukarramah. – HARAKAHDAILY 5/7/2022