Hospital Pendang siap 98 peratus, dijangka rasmi hujung tahun

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pembinaan Hospital Pendang sudah mencapai 98 peratus dan dijangka dirasmikan pada penghujung tahun ini, kata Ahli Parlimen Pendang Dato’ Awang Hashim.

Beliau berkata sehingga kini, proses pembangunan hospital itu mengikut jadual dan pelan perancangan yang telah ditetapkan.

“Setiap dua, tiga bulan saya akan turun untuk lihat sendiri tahap kemajuan dan pembinaan hospital ini. Dalam lawatan ke Hospital Pendang semalam, saya lihat semuanya berjalan dengan lancar jadi saya yakin ia dapat beroperasi sepenuhnya pada 2023.

“Perasmian hospital ini dijangka dibuat pada hujung 2022 tetapi mungkin ia dapat dipercepatkan lagi bagi membolehkan semua penduduk Pendang menggunakan kemudahan yang ada di situ,” katanya ketika diminta mengulas mengenai status pembinaan Hospital Pendang.

Awang yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata sebagai wakil rakyat di Pendang, beliau mahu memastikan penduduk di daerah itu segera mendapat akses perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.

“Sebelum ini, mereka perlu ke hospital di daerah lain seperti Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk mendapatkan rawatan tetapi dengan adanya Hospital Pendang ini, ia dapat mengurangkan kos perjalanan mereka,” katanya.

Tambah beliau, hospital berkenaan merupakan semi pakar yang bakal dilengkapi dengan peralatan berteknologi tinggi yang boleh dimanfaatkan oleh penduduk di daerah itu yang rata-ratanya kurang berkemampuan.

Hospital yang dibina di kawasan seluas 17 hektar di Kampung Banggol Pauh, Pendang itu mampu menempatkan 126 katil dan menyelesaikan masalah penduduk yang terpaksa ke HSB bagi mendapatkan rawatan.

Terdahulu, beliau merasmikan ‘Program Dialog Berstruktur Tripartite Wilayah Utara 2022’ yang merupakan satu inisiatif untuk membangunkan modal insan mahir serta meningkatkan kebolehkerjaan graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional dalam mendepani cabaran baharu. – BERNAMA

- Advertisement -
- Advertisement -