Mendidik anak cara Rasulullah S.A.W

- Advertisement -

MENDIDIK anak antara cabaran besar buat ibu bapa kerana tidaklah semudah yang disangka. Pelbagai dugaan dan cabaran harus ditempuhi dalam memastikan anak-anak menjadi insan berguna di dunia dan akhirat. 

Zaman gajet yang serba canggih ini memerlukan ibu bapa yang bijak dalam mendidik anak-anak. Berbalik kepada ajaran Islam, kita perlu didik anak cara Rasulullah S.A.W.

Kita tidak mahu nilai-nilai murni yang sepatutnya kita tanamkan dalam diri mereka, dibajai dan disirami unsur-unsur yang boleh melemahkan serta menghasilkan tanaman yang tidak berkualiti. Maka ramai kini ibu bapa prihatin yang tercari-cari teknik terbaik mendidik anak-anak.

Sebagai umat Islam, contoh teladan yang terbaik ialah Rasul junjungan yang mulia, Nabi Muhammad S.A.W.

Kebaikan Baginda terhadap kanak-kanak membuatkan mereka sangat suka dan sayang kepada Rasulullah S.A.W. Justeru itu, terdapat beberapa tahap mendidik anak mengikut cara Rasulullah dan boleh dijadikan rutin kehidupan.

Oleh yang demikian, disertakan 4 peringkat yang boleh dijadikan panduan dalam mendidik anak-anak. Mengikut sunnah Rasulullah S.A.W adalah:

1. Umur anak-anak 0-6 tahun. Pada masa ini, Rasulullah S.A.W menyuruh kita untuk memanjakan, mengasihi dan menyayangi anak dengan kasih sayang yang tidak berbatas. Berikan mereka kasih sayang tanpa mengira anak sulung mahupun bongsu dengan bersikap adil terhadap setiap anak-anak.

Tidak boleh dirotan sekiranya mereka melakukan kesalahan walaupun atas dasar untuk mendidik.

Kesannya, anak-anak akan lebih dekat dengan kita dan merasakan kita sebahagian masa membesar mereka yang boleh dianggap sebagai rakan dan rujukan yang terbaik. Anak-anak merasa aman dalam meniti usia kecil mereka kerana mereka tahu yang anda (ibu bapa) selalu ada disisi mereka setiap masa.

2. Umur anak-anak 7-14 tahun. Pada tahap ini kita mula menanamkan nilai disiplin dan tanggungjawab kepada anak-anak. Menurut Hadis Abu Daud, 

- Advertisement -

“Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur sepuluh tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan). Pukul itu pula bukanlah untuk menyeksa, cuma sekadar untuk menggerunkan mereka. Janganlah dipukul bahagian muka kerana muka adalah tempat penghormatan seseorang. Allah S.W.T mencipta sendiri muka Nabi Adam.”

Kesannya, anak-anak akan lebih bertanggungjawab pada setiap suruhan terutama dalam mendirikan solat. Inilah masa terbaik bagi kita dalam memprogramkan sahsiah dan akhlak anak-anak mengikut acuan Islam. Terpulang pada ibu bapa sama ada ingin menjadikan mereka seorang Muslim, Yahudi, Nasrani ataupun Majusi.

3. Umur anak-anak 15- 21 tahun. Inilah fasa remaja yang penuh sikap memberontak. Pada tahap ini, ibu bapa seeloknya mendekati anak-anak dengan berkawan dengan mereka. Banyakkan berborak dan berbincang dengan mereka mengenai perkara yang mereka hadapi. Bagi anak remaja perempuan, berkongsilah dengan mereka mengenai kisah kedatangan ‘haid’ mereka dan perasaan mereka ketika itu. Jadilah pendengar yang setia kepada mereka.

Sekiranya tidak bersetuju dengan sebarang tindakan mereka, elakkan mengherdik atau memarahi mereka terutama di hadapan adik-beradik yang lain tetapi banyakkan pendekatan secara diplomasi walaupun kita adalah orang tua mereka. Kesannya, tiada orang ketiga atau ‘asing’ akan hadir dalam hidup mereka sebagai tempat rujukan dan pendengar masalah mereka. Mereka tidak akan terpengaruh untuk keluar rumah untuk mencari keseronokan memandangkan semua kebahagian dan keseronokan telah ada di rumah bersama keluarga.

4. Umur anak 21 tahun dan ke atas. Fasa ini adalah masa ibu bapa untuk memberikan sepenuh kepercayaan kepada anak-anak dengan memberi kebebasan dalam membuat keputusan mereka sendiri. Ibu bapa hanya perlu pantau, nasihatkan dengan diiringi doa agar setiap hala tuju yang diambil mereka adalah betul. Bermula pengembaraan kehidupan mereka yang sebenar di luar rumah. 

Insya-Allah dengan segala disiplin yang diasah sejak tahap ke-2 sebelum ini cukup menjadi benteng diri buat mereka. Ibu bapa jangan penat untuk menasihati mereka, kerana mengikut kajian nasihat yang diucap sebanyak 200 kali terhadap anak-anak mampu membentuk tingkah laku yang baik seperti yang ibu bapa inginkan. 

DR USTAZ AHMAD FAKHRUDDIN SHEIKH FAKHRURAZI
Yang Dipertua
PAS Kawasan Kuala Kedah – HARAKAHDAILY 29/6/2022

- Advertisement -