Ada petani jual baja subsidi disumbang kerajaan

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Kerajaan disaran membuat pemutihan secara menyeluruh data penerima bantuan baja subsidi memandangkan terdapat segelintir petani tidak menyatakan jumlah sebenar sawah yang diusahakan.

Beberapa pesawah di sini ketika ditemui mendakwa ada petani yang tidak bertanggungjawab menjalankan penipuan jumlah sawah yang diusaha dengan tanaman padi.

Malah mereka mendakwa tidak dapat dinafikan ada petani menjual baja subsidi yang diterima daripada kerajaan.

- Advertisement -
Sukardi Mat Dali

Seorang petani Sukardi Mat Dali, 56, berkata, bagi menangani masalah itu kerajaan wajar mengkaji semula segala dasar berkaitan pengagihan bantuan baja subsidi.

Lebih-lebih lagi katanya negara sekarang berhadapan dengan kenaikan harga bahan-bahan pertanian secara mendadak sehingga menjejaskan sektor berkenaan.

“Di kawasan saya masalah baja tidak seteruk di kawasan lain seperti di Kedah. Peratusan penerimaan baja masih tinggi dalam kalangan pesawah.

“Bagaimanapun ada juga baja yang lambat sampai. Lebih parah lagi ada segelintir petani menjual baja subsidi di tempat lain.

“Sebagai contohnya dalam rekod ada petani mengerjakan sawah 10 relung, tetapi sebenarnya hanya lapan relung sahaja yang diusahakan. Jadi bekalan baja yang lebih dijual pula pada orang lain,” katanya.

Mohd Noor Hashim

Seorang lagi petani Mohd Noor Hashim, 59, pula berkata, penanaman padi agak terjejas kerana penerimaan baja subsidi lewat.

Kata beliau sepatutnya pesawah sudah menerima baja, namun ada yang masih belum mendapatnya sehingga menyebabkan pembesaran padi terbantut.

“Saya ada bertanya kepada agensi berkaitan mengenai perkara itu. Lagi pun sekarang harga bahan mentah meningkat sehingga menyebabkan pengeluaran baja lambat,” katanya.

Beliau turut berharap kerajaan memastikan ‘input’ pertanian dihasilkan dalam negara pada skala besar tanpa perlu lagi bergantung sumber yang diimport dari luar.

“Sekarang kita masih terpaksa bergantung dengan sumber luar, sepatutnya negara kita meningkatkan pengeluaran baja, padi benih dan sebagainya.

“Apabila berlaku krisis di peringkat global seperti sekarang ia turut menjejaskan sektor pertanian tempatan,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/6/2022

- Advertisement -