Sanggah Tuanku Sultan? Siapa ‘di sebalik’ BERSIH?

- Advertisement -

SEBUAH portal berita cenderung DAP-Pakatan Harapan (PH) telah melaporkan bahawa Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mohon tidak bersetuju terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar. 

BERSIH seakan sembah derhaka atas titah nasihat baginda bahawa perhimpunan jalanan seperti digesa seorang pemimpin DAP bukan cara bertanggungjawab dalam mencari ‘penyelesaian yang membina’ terhadap menyelesaikan isu kenaikan kos sara hidup.

Ya memang betul pun. Tidakkah DAP sedar bahawa mereka memiliki jumlah Ahli Parlimen antara yang ramai di Dewan Rakyat? Itu belum dikira ADUN mereka yang berada di Dewan Undangan Negeri-negeri. 

Manfaatkanlah dua medan besar ini untuk bicara hal rakyat. Kenapa masih memilih isu marhaen diselesaikan melalui himpunan jalanan? Kemaruk ke apa? 

Titah baginda lagi, pandangan masyarakat boleh disampaikan kepada kerajaan menerusi pelbagai forum dan saluran lain. Ini juga amat tepat kerana media arus perdana kini sudah semakin terbuka dan bebas ditambah lagi lowongan penyaluran maklumat melalui media sosial yang seluas langit biru. 

Malah, PH selaku pembangkang juga memiliki Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan sekarang, jadikanlah ia antara platform untuk buktikan kalian negarawan, bukan bertindak memanaskan keadaan. Anda bukan Komunis! Asyik melawan tidak tentu masa sedangkan ruang perbincangan terbentang luas.

Titah baginda lanjut, undang-undang negara perlu dihormati, serta mengelak membuat kenyataan menghasut kerana ia tidak membantu. Selain tidak mencapai matlamat, ia juga akan mengakibatkan kekecohan, kerosakan dan kerugian kepada semua pihak. 

Itulah dia pandangan tajam Tuanku Sultan Johor dalam melihat situasi semasa. BERSIH tidak dapat memahami pesanan seringkas itu? Kalian pula sibuk bingkas menyanggah bagi pihak DAP?

Begitu juga gesaan DAP itu, bukankah politikus sepatutnya menjadi penyelesai masalah dan meredakan keadaan? Kalian suka dan mahu lihat negara jadi macam Sri Lanka? 

Seperti titah baginda itu, gesaan himpunan jalanan ini berupa satu hasutan. Adakah ini satu gambaran bahawa politikus DAP-PH masih berminda ekstrem, radikal dan cuba menjadikan situasi tidak stabil kepada lebih porak-peranda?

Siapa ‘di sebalik’ BERSIH?

Sewajarnya, dengan titah nasihat Tuanku Sultan itu, ia mampu menjentik kesedaran, betapa wujudnya ruang yang sangat luas dan terbuka untuk penyelesaian isu. Tetapi mengejutkan BERSIH sanggah! Siapakah ‘di sebalik’ BERSIH? Kenapa masih mahu berkeras menentang arus saranan Tuanku?

Ramai dahulu yang pernah menyertai himpunan BERSIH termasuk penulis sendiri. Jangan kata himpunan anjuran mereka, bahkan himpunan lain juga seperti TURUN, ISA dan bermacam lagi. PAS juga turut pernah bersama.

Tetapi, PAS akhirnya menarik diri daripada BERSIH setelah menyedari ‘siapa’ yang berada dalam BERSIH itu. Pihak mana di belakang dan menjadi ‘remote control’ ke atas BERSIH, ke mana hala tuju dan motif terselindungnya. 

Biarpun secara zahir BERSIH dilihat memperjuangkan integriti demokrasi, PAS sedar ‘ancaman’ bahaya yang wujud di dalam BERSIH sepertimana PAS kenal DAP dan PKR!

Tidak bolehkah DAP dan BERSIH akur pada titah nasihat Tuanku itu? Tidak bolehkah kalian contohi sepertimana semangat perjuangan dan ketaatan, kasih sayang Mat Kilau kepada negara dan raja? 

Mat Kilau bersama ayahnya Tok Gajah dan tokoh-tokoh pejuang lain termasuk Datuk Bahaman, Pawang Nong, Teh Ibrahim, Haji Mat Wahid, Mat Lela dan Haji Mat Nor berjuang menentang penjajah sejak 1890 kerana sayangkan rakyat. Mereka lawan British, yang menjarah hasil mahsul Pahang. 

Teras perjuangan Mat Kilau dan pahlawan lainnya bertulang belakangkan sokongan kuat Sultan dan Raja-raja Melayu. Di Kelantan, pahlawan Pahang ini telah diselamatkan oleh Sultan Mansur Shah, manakala di Terengganu oleh Sultan Zainal Abidin III dan penasihat Sultan Terengganu iaitu Tokku Paloh. Sultan Pahang pada waktu itu, Sultan Ahmad Shah turut menyokong Dato’ Bahaman tetapi ditekan oleh British dengan menghantar askar. 

Negeri Kelantan antara kuat menyokong perjuangan Mat Kilau sehingga diugut oleh Raja Siam supaya menangkap Mat Kilau yang ketika itu bersembunyi di Hulu Kelantan. Jika tidak, sesuatu yang buruk akan menimpa negeri itu. 

Namun dengan keberanian dan kepintaran Tuanku Sultan Mansur, Mat Kilau telah diumum mati ketika ditangkap pada 1895. Keranda yang diletakkan batang pisang kemudiannya ditanam di Bunut Payong di negeri itu. Raja Siam, Raja Chulalongkorn Ke-V yang bersekongkol dengan British terpedaya.

Itu semua sejarah yang menunjukkan kerjasama erat antara Raja dan Sultan bersama pemimpin masyarakat berjuang demi kepentingan rakyat jelata. Mereka bersama berdepan dengan penjajah. Kini kenapa sebahagian politikus kononnya atas nama ‘perjuangan rakyat’, secara terang dan lantang menyanggah titah Tuanku? 

Kalian hanya manis mulut berslogan, tetapi memperalat, mengeksploitasi, memanipulasi, membohongi, mencurangi dan mengkhianati rakyat serta negara ini. Kalian fikir rakyat lupa 22 bulan negara ini ditangan kalian dahulu? Cukuplah!

Kedaulatan Raja-raja

Perlu kalian ingat, raja bertakhta raja disembah. Semua rakyat wajib menyatakan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu dan negara seperti yang dinyatakan dalam Rukun Negara. 

Pepatah ‘raja bertakhta, raja disembah’ di atas perlu disedari dan dipikul sebagai tanggungjawab kita semua agar institusi beraja sentiasa tinggi tanpa pelecehan mana-mana pihak. Kalian juga yang pernah cuba mengubah martabat tersanjung dan termaktub dalam Perlembagaan ini kan? Kami tak lupa!

Ramai Ahli Parlimen PH khasnya DAP berada di Parlimen, sedarkah mereka istilah Yang di-Pertuan Agong dinyatakan lebih 450 kali di dalam Perlembagaan? Ini membawa maksud bahawa Raja-raja kita bukan sekadar simbol, tetapi secara langsung menunjukkan peri pentingnya peranan institusi itu.

Terutama dalam pentadbiran negara di samping menjaga kebajikan rakyat melalui perkara-perkara yang melibatkan bidang tugas Seri Paduka.  

Kedaulatan sistem beraja ini bukan semata-mata atas dasar ia institusi yang tinggi dan istimewa buat Malaysia. Akan tetapi wajib juga difahami bahawa Sultan dan Raja Melayu ini adalah pelindung kepada agama Islam dan hak istimewa orang Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak, selain Tuanku juga bertanggungjawab melindungi hak kaum-kaum lain di Malaysia.

Justeru, dalam usaha untuk memastikan sistem ini terus berlangsung, sebarang bentuk penghinaan serta kritikan tidak munasabah haruslah dielakkan. Dalam kes sanggahan BERSIH terhadap titah baginda, adalah amat dikesalkan.

Kata-kata ‘raja dan rakyat berpisah tiada’ telah wujud sejak zaman berzaman. Cuma kini ia makin sukar dan susah untuk dilazimi kerana generasi baharu semakin kurang peka mengenai institusi raja dan kepentingannya kepada negara. 

Ini boleh kita lihat dengan mudah di media sosial apabila remaja dan orang muda kita membuat komen-komen yang liar dan dianggap luar batasan berkait institusi beraja. Lalu, kenapa BERSIH dilihat mahu menyemarakkan lagi risiko ini? 

Marilah kita bersama, rakyat Malaysia, pemimpin, NGO dan pertubuhan apapun, duduk semeja, bincanglah dengan baik. Kita baru sahaja melepasi tempoh pandemik. Susun baik-baik masalah dalam negara, selesaikanlah dengan bijaksana. Ambillah semangat Mat Kilau dalam mencintai negara dan negerinya, tetapi kasih pada raja dan ketua negara tidak pernah sirna. Ayuh!

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 29/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -