Laksana perintah agama punca PAS pertahan MN

Oleh SYAHIRAH SALLEH

SIK: PAS masih berterusan menyeru kepada perpaduan ummah dan mempertahankan Muafakat Nasional (MN) walaupun berkali-kali ditolak Umno adalah kerana berpegang kepada perintah Allah.

Advertisement

Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin, berkata parti itu tetap dengan pendirian perpaduan Ummah perlu diteruskan berdasarkan perintah Allah dalam Surah Al-Imran ayat 103 yang bermaksud, ‘dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai’.

“Ini adalah perintah Allah SWT dan perintah itu wajib kita laksana semampu yang kita boleh. Apa sahaja halangan yang ada kita perlu lalui.

“Semasa Nabi Muhammd SAW mahu menyebarkan Islam di Taif, baginda menyangka akan mendapat sokongan daripada penduduk Taif.

“Tetapi apa yang diharapkan oleh Rasulullah SAW tidak berlaku, malah baginda dilontar batu sehingga luka dan pulang dengan penuh rasa kecewa,” kongsinya.

Kemudian Allah menghantar malaikat Jibril dan malaikat penjaga bukit kepada Nabi Muhammad SAW bagi membantu Baginda, katanya.

“Jibril berkata, kalau kamu mahu, perintahkan malaikat ini untuk mentelangkup Mekah di antara dua bukit, mereka akan musnah.

“Tetapi Nabi Muhammad SAW tidak membenarkannya dan bersabar, kerana mengharapkan anak cucu mereka akan mendokong perjuangan itu,” kongsi Hashim.

Justeru melalui kisah itu, Mursyidul Am PAS berharap ahli-ahli PAS dapat memahami sebab di sebalik PAS masih bertegas mahukan penyatuan Ummah.

Beliau berkongsi kisah berkenaan semasa menyampaikan ucapan perasmian pada Kempen PAS Pilihanku 4.0 yang berlangsung di Dewan Al-Hana, di sini, semalam. – HARAKAHDAILY 26/6/2022