Pemuda PAS mantapkan penggunaan media sosial

Ahmad Fadhli (dua dari kiri barisan depan) bersama ikon dan influencer
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

BANDAR BARU BANGI: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) akan memperkuatkan penggunaan media sosial, terutama aplikasi TikTok bagi mendekati orang muda sejajar dengan perubahan zaman yang mahukan idola atau figura sebagai ikutan.

Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata ahli Exco DPMM diberikan kebebasan sepenuhnya untuk memiliki dan mengendalikan akaun TikTok masing-masing, tetapi mengingatkan bahawa persoalan hati adalah tanggungjawab diri masing-masing untuk menjaganya.

- Advertisement -

Katanya, walaupun orang itu tidak ada akaun TikTok, kalau dia hendak jadi rosak, dia rosak juga. Bukan TikTok yang menyebabkannya rosak, tetapi kegagalan untuk mengawal diri sendiri.

“Dalam usrah, kita diajar tidak boleh menonjolkan diri. Ini kita tidak salahkan teks usrah. Namun, kita berdepan dengan situasi hari ini, anak muda lebih condong atau suka supaya seseorang dijadikan idola atau figura sebagai ikutan.

“Kita perlu akur terhadap tuntutan hari ini bahawa seseorang perlu untuk dijadikan figura atau idola supaya dengan demikian, dia boleh menyampaikan mesej kepada rakyat,” katanya di Majlis Ramah Mesra dan Makan Malam Pemuda PAS Malaysia Bersama Ikon dan Influencer Media Sosial di sini, malam tadi.

Dalam majlis itu, lebih 50 ikon dan influencer media sosial dari seluruh negara turut mengemukakan persoalan serta mencadangkan pelbagai saranan untuk memperkukuhkan jentera media baharu DPPM.

Turut hadir Ketua Penerangan DPPM, Nadzir Helmi; Pengarah Jabatan Penerangan DPPM, Muhammad Nazrul Hakim Md Nazir; Pengarah Jabatan Kualiti Imej dan Penjenamaan DPPM, Muhammad Hilmi Ismail dan Pengarah Jabatan Media Baharu (NuMed) DPPM, Muhammad Fazli Abd Halim.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Fadhli Shaari – Gambar Muhammad Zharif Zulkiflee

Ahmad Fadhli berkata, berdasarkan pengalaman di Filipina dan banyak negara lain, media sosial digunakan sepenuhnya untuk mengubah kerajaan.

Beliau mengakui bahawa Pemuda PAS mungkin agak terkebelakang, tetapi kini semakin mengorak langkah untuk menggunakan media sosial, terutama TikTok untuk menembusi hati anak muda yang diakui bukan suatu tugas yang mudah.

“Kita melihat dalam Pilihan Raya Umum 2018, berlaku kebangkitan influencer…artis-artis yang menyeru rakyat menyokong Pakatan Harapan ketika itu. Namun hari ini, saya lihat dengan penuh bimbang gerakan anarkis dan anti-establishment yang sangat memuncak di kalangan anak muda.

“Saya mohon influencer teruskan dengan content (kandungan) yang ada, tetapi selitkan perkara yang boleh membawa anak muda balik ke jalan yang benar dan paling tidak, menjadi hamba yang soleh mengabdikan diri kepada Allah SWT,” katanya.

Menurutnya, sumbangan influencer kepada media sosial perlu menjadi satu perkara yang memberi manfaat kepada negara. – HARAKAHDAILY 26/6/22

- Advertisement -