Empangan Nenggiri: Kerajaan kurang kebergantungan arang batu

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

GUA MUSANG:
Pembinaan Empangan Hidroelektrik Nenggiri bernilai RM5 bilion yang dijangka siap sepenuhnya lima tahun lagi akan memberi kesan terhadap kelestarian alam dan sosial.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, empangan itu mampu menjana 300MW bakal meningkatkan lagi kapasiti tenaga boleh baharu (TBB).

Selain itu projek tersebut mampu membantu kerajaan negeri mengurangkan kesan banjir, mengatasi isu bekalan air serta pengajaran dan meningkatkan sosioekonomi penduduk.

- Advertisement -

“Penjanaan elektrik menerusi empangan tersebut akan meningkatkan jumlah penjanaan TBB, sejajar penggerak utama peralihan industri tenaga negara dan bekalan stabil.

“Usaha ini akan memberi manfaat besar kepada Kelantan seperti mana pembinaan empangan lain milik TNB iaitu Empangan Temenggor, Bersia dan sebagainya,” katanya pada majlis pecah tanah projek berkenaan di sini hari ini yang disempurnakan Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nazran Muhammad dan Pengerusi TNB, Dato’ Seri Hasan Arifin.

Takiyuddin berkata, empangan terbabit membuktikan komitmen kerajaan dalam merealisasikan Aspirasi Nasional mengurangkan kebergantungan arang batu sebagai sumber penjanaan.

Kata beliau kerajaan yakin ia mampu siap mengikut pelan selepas sebanyak 40 peratus kapasiti TBB dalam pembekalan elektrik negara menjelang tahun 2035.

Menurut beliau juga kerajaan sentiasa fokus terhadap nasib serta kebajikan kira-kira 1,000 penduduk Orang Asli di Pos Tohoi, Pos Pulat dan Kampung Kuala Wias.

Malah sejak diluluskan projek itu oleh kerajaan negeri pada Mac 2014 katanya pelbagai program dan tanggungjawab sosial bersama komuniti terbabit dilaksanakan di sekitar kawasan projek.

“TNB bersama kerajaan negeri dan agensi lain turut melakukan penempatan semula yang dilengkapi kemudahan awam dan kebun getah lima ekar setiap keluarga sebagai sumber pendapatan mereka.

“Lebih 30 sesi libat urus bersama rakyat setempat dilaksanakan anjuran Suhakam bersama pimpinan tempatan serta Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK).

“Kajian Penerimaan Awam yang dilakukan, menunjukkan tahap penerimaan penduduk berkenaan meningkat 80 peratus berbanding 69.5 pada 2015,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/6/2022

- Advertisement -