Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
GUA MUSANG: Kerajaan negeri akan memastikan kebajikan penduduk Orang Asli di Pos Tohoi, Pos Pulat dan Kampung Kuala Wias terjamin selepas ditenggelami Tasik Takungan Utama ekoran pembinaan Empangan Hidroelektrik Nenggiri.
Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, penduduk terlibat disediakan penempatan baharu dengan kemudahan yang lebih sempurna.
Menurut beliau, pembinaan Empangan Hidroelektrik Nenggiri yang bernilai RM5 bilion dan dijangka siap sepenuhnya lima tahun lagi tidak akan meminggirkan penduduk terlibat.
“Rakyat termasuk masyarakat Orang Asli tidak perlu bimbang kerana kita akan pastikan kebajikan mereka dijaga dan pelihara oleh semua pihak termasuk agensi kerajaan.
“Bagi yang kehilangan tanah dan kebun bagi pembinaan empangan tersebut diberikan sagu hati. Ia sebagai keutamaan kita sebelum memulakan projek,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian pecah tanah projek Hidroelektrik Nenggiri di Sungai Betis Kampung Star di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Timbalan Menteri Besar Dato Mohd Amar Abdullah, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nazran Muhammad dan Pengerusi TNB, Dato’ Seri Hasan Arifin.
Menteri Besar juga berkata, penduduk terlibat menerima sebuah rumah dengan kemudahan lebih baik, selain tanah kebun seluas lima ekar dan saguhati kepada setiap keluarga dan isi rumah.
Jelas beliau projek berimpak besar itu mampu membantu kerajaan negeri bagi berhadapan dengan banjir besar yang berlaku setiap tahun ketika musim tengkujuh.
Menurutnya juga Pahang dan Terengganu mempunyai empangan hidroelektrik sendiri yang dilihat berupaya meredakan masalah banjir.
“Pembinaan empangan juga diharap dapat merancakkan lagi pembangunan ekonomi khususnya di jajahan Gua Musang ini selain akses infrastruktur dan peluang pekerjaan.
“Sungai Nenggiri adalah satu daripada anak sungai kepada Sungai Galas yang mengalir ke Sungai Kelantan di mana banyak kawasan di hilir empangan tersebut merupakan kawasan rendah.
“Apabila siap projek ini akan terbentuk Tasik Takungan Utama seluas 53.84 kilometer persegi dan kolam pengatur aliran seluas 0.97 kilometer persegi, sebagai tebatan banjir,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/6/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!