Oleh AIN MANAF
RANTAU PANJANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas 21,600 botol cecair vape termasuk kenderaan dengan nilai RM1.18 juta sekali gus menumpaskan kegiatan peyeludupan haram di Pos Simpangan, Tumpat yang dipercayai cuba untuk dibawa masuk ke negara jiran.
Timbalan Komander Briged Tenggara PGA Kuantan, ACP Hakemal Hawari berkata, tangkapan itu berjaya dilakukan semasa anggota pasukan sedang membuat rondaan Op Wawasan dan berjaya menahan dua lelaki Melayu yang berusia 34 dan 20 tahun.
Katanya, dalam rondaan itu pihaknya telah menahan sebuah lori berwarna hijau dan bertulis City Link jenis Isuzu sebelum pemeriksaan dilakukan di bahagian belakang kenderaan itu.
“Pemeriksaan pada bahagian belakang tersebut telah menemui beberapa kotak yang berwarna coklat yang mengandungi cecair vape berkenaan. Ketika pemeriksan sedang dilakukan telah datang seorang lelaki dan mengakui dirinya sebagai penerima kotak-kotak yang berisi barangan terlarang itu.
“Kemudian anggota telah membuat pemeriksaan dalam kotak tersebut dan didapati mengandungi pelbaga jenis perisa vape dan turut merampas motolori selain menangkap kedua-dua lelaki berkenaan,” katanya pada sidang media di Markaz PGA Lubuk Stol, di sini hari ini.
Mengulas lanjut katanya, melalui tangkapan berasingan itu PGA juga telah berjaya merampas perisa rokok elektronik berjumlah 8,800 unit dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM220,000.
“Pada 11 Jun kira-kira 3.30 petang PGA telah menjalankan rondaan di kawasan pengkalan haram Pok Leh, Kampung Tualang telah nampak dua lelaki sedang memunggah beberapa kotak dari tebing sungai ke dalam perahu.
“Setelah menyedari kehadiran pasukan anggota kesemua lelaku tersebut melarikan diri ke negara Thailand menaiki perahu galah,” katanya.
Bagaimanapun, pemeriksaan di kawasan tersebht telah menemui kotak-kotak berisi pelbagai jenis perisa rokok elektronik dan telah merampas kesemua sebelum diserahkan kepada pihak IPD untuk tindakan lanjut. – HARAKAHDAILY 12/6/2022