‘Bertani Satu Ibadah’ menuju Jelapang Makanan Negara

Revolusi sektor pertanian Kelantan (Siri 1)

- Advertisement -

KELANTAN terkenal sebagai negeri pertanian dalam negara di mana sektor ini merupakan penyumbang kedua terbesar buat Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negeri Kelantan iaitu 23.1 peratus mengikut Struktur Aktiviti Ekonomi Tahun 2020 dari Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ini terbukti melalui Perbandingan Prestasi Semasa 15 Negeri pada tahun 2020 mengikut KDNK oleh Jabatan Perangkaan Malaysia di mana sektor pertanian negeri Kelantan mengalami pertumbuhan 0.2 bersamaan RM 5.8 billion, berbanding pertumbuhan seluruh negara pula hanya -2.2 sahaja.

Jika merujuk kepada data Jabatan Pertanian Negeri Kelantan, mengikut rekod Kadar Sara Diri (SSL) bagi Agromakanan Negeri Kelantan Tahun 2020 dari Jabatan Perangkaan Malaysia mengatakan, buah-buah telah mencapai 117 peratus, padi 208 peratus, sayur-sayuran 98 peratus dan kelapa telah mencapai 196 peratus. 

Ini secara teorinya, penawaran melebihi permintaan bagi keperluan penduduk negeri Kelantan. Dalam konteks Agenda Jaminan Bekalan Makanan (food security), untuk keperluan tanaman di atas boleh dijadikan asas bahawasanya Kelantan sebagai Jelapang Makanan Negara.

Selari negeri Kelantan ‘Membangun Bersama Islam’, satu gagasan telah diperkenalkan pada tahun 2011 khususnya buat petani dan penternak dalam negeri Kelantan. Melalui Al-Marhum Dato’ Bentara Setia Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat telah memperkenalkan slogan ‘Bertani Satu Ibadah’.

Ini inisiatif Kerajaan Negeri Kelantan menjadikan sektor pertanian sebagai satu pekerjaan yang mulia dan diceburi ramai rakyat agar memastikan visi Kelantan Jelapang Makanan Negara tercapai. Pengurus Besar Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB), Mohd Mukhlis Mukhtar dalam satu perkongsiannya mengakui betapa pertanian dan penternakan adalah sebahagian

daripada kehidupan rakyat Kelantan sejak sekian lama. Maka gagasan ‘Bertani Satu Ibadah’ ini terbina dengan merangkumi aspek pembangunan modal insan dan aspek peningkatan produktiviti pertanian.

Malah menurut beliau, kesinambungan penambahbaikan bagi memacu keberkesanan dalam penyampaian dan keperluan rakyat negeri Kelantan terhadap sektor ini telah mencapai perubahan. Di mana satu program khas diperkenalkan mulai tahun 2019 dengan menggerakkan sektor ini agar lebih cermelang dan berjaya dengan memberi fokus kepada golongan akar umbi. 

Program ini di kenali sebagai Gerakan Pertanian Al-Falah (GEPA). Ini telah terbukti dengan beberapa siri program yang dianjurkan oleh agensi-agensi Kerajaan Negeri yang dilantik telah berjaya mewujudkan peluang membina karier sebagai usahawantani. Sekali gus keperluan terdesak semasa terjadinya pandemik COVID-19 dapat diatasi dengan jayanya di Negeri Kelantan. 

Alhamdulillah jaminan makanan semasa terjamin buat rakyat negeri Kelantan. Dalam hal ini suka untuk saya puji segala pemikiran yang kemudiannya diterjemah dalam bentuk tindakan oleh YB Exco Pertanian Kerajaan Negeri Kelantan, Ustaz Haji Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

………bersambung Siri 2

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 30/5/2022

- Advertisement -
- Advertisement -