Sokonglah insan berhati mulia seperti Azlan

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Al-Fattah, Mohammad Azlan Abdul Rahman. Foto MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE/HARAKAHDAILY.
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

- Advertisement -

Lewat hari tatkala melewati kota Kuala Lumpur, pengguna jalan raya pasti akan disajikan dengan suasana malam yang agak berbeza berbanding pada waktu siang.

Jika kesesakan trafik sepanjang jalan raya pada siang hari menggamit rasa resah, namun menjelang malam kawasan itu akan mulai kosong bertemankan cahaya malap dari lampu-lampu jalan di sekitar bangunan berhampiran.

Dalam kelibat ‘wanita-wanita jadian’ dan beberapa individu yang tidak diketahui tujuan sebenar mereka terlihat berada di situ, mata pasti tertancap ke arah beberapa sosok tubuh yang terbaring di kaki-kaki lima atau koridor bangunan.

Merujuk kepada komen-komen warga maya, ramai beranggapan golongan ini pemalas dan tidak mahu berusaha, selesa hidup bebas sebagai gelandangan. Benarkah begitu?

Siapa sangka dalam dunia yang masing-masing menjaga periuk nasi sendiri sehingga ada yang tergamak mengecam golongan gelandangan itu, masih ada insan berhati emas yang ternyata begitu prihatin dengan nasib mereka.

Bukan dari kalangan sesetengah ahli politik atau selebriti dengan helah licik mahu mengejar populariti dan nama dengan kononnya membuat amal kebajikan membantu golongan terbabit, tetapi insan mulia itu hanyalah seorang pemandu bas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Idris Ahmad menyantuni warga emas Al-Fattah dan menyampaikan sumbangan Musaadah Covid-19, di Taman Tasikk Semenyih, pada 18 April lalu. Foto MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE/HARAKAHDAILY

Hati nurani Mohammad Azlan Abdul Rahman sering berasa cukup tersentuh setiap melihat gelandangan tidur di kaki lima, sepanjang melunaskan kerjanya sebagai pemandu bas siaran.

Daripada sekadar berasa simpati, siapa sangka lelaki berusia 29 tahun ini yang sebenarnya masih muda orangnya, terbuka pintu hati dan dipermudahkan membuka sebuah pusat khususnya untuk gelandangan warga emas dikenali sebagai Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Al-Fattah.

Bercerita tentang penghuni pusat tersebut, menurutnya ada dalam kalangan mereka yang menjadi gelandangan kerana ditinggalkan keluarga.

Sebenarnya banyak lagi kisah sedih penghuni pusat tersebut yang dianggap sebagai ibu dan bapa kandungnya sendiri.

Menurut Azlan, jumlah penghuni yang tinggal di pusat jagaan itu tidak menentu susulan usia dan penyakit kritikal yang dihidapi mereka sehingga akhirnya ada yang meninggal dunia di situ atau di hospital semasa mendapatkan rawatan.

Sambutan Aidil Fitri Warga Emas Al-Fattah pada Ahad. Foto ihsan MOHAMMAD AZLAN.

“Pada peringkat awal saya buka pusat jagaan ini, hanya ada lima hingga enam orang sahaja , tetapi lama-kelamaan, jumlah penghuni di sini semakin ramai.

“Saya pun bekerja keras membawa bas persiaran dan bas ekspres. Walaupun dengan pendapatan hasil kerja saya hanya cukup-cukup untuk menampung kos pusat jagaan tersebut, tetapi hakikatnya ia tidak cukup sebenarnya,” luah Azlan.

Tambahnya, sebelum pandemik Covid-19, dia mempunyai seorang pekerja, pembantu dan pemandu, serta dibantu oleh ibunya dalam urusan menyediakan makan dan minum buat penghuni pusat jagaan itu.

“Saya hanya pulang sebulan sekali ke pusat jagaan itu sepanjang menjadi pemandu bas, namun pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) benar-benar menguji diri ini dalam membantu penghuni di pusat jagaan saya itu apabila saya kehilangan pekerjaan akibat sekatan perjalanan dan industri pelancongan yang lumpuh pada ketika itu,” tuturnya.

Namun, tidak berputus asa, Azlan yang dia mula mencari inisiatif lain bagi menampung keperluan kewangan pusat jagaan berkenaan, namun terpaksa merehatkan kesemua pekerjanya dan beroperasi dengan tenaga sendiri dan keluarga terdekat.

“Saya berusaha untuk memastikan mereka dapat makan, semasa pandemik Covid-19, ia amat merisaukan saya, dan saya buat keputusan untuk menjadi rider Food Panda bermula Mac 2020.

“Ketika itu memang saya tidak dapat menampung kos perbelanjaan, saya hanya menerima pendapatan dalam lingkungan RM3,000 lebih (semasa menjadi rider Food Panda).

“Kemudian saya berhentikan pekerja kerana tidak mampu untuk membayar gaji mereka, dan saya bekerja sambil menguruskan pusat jagaan, termasuk memandu ke hospital untuk bawa mereka yang sakit. Jika saya keluar, ibu akan tolong menjaga mereka,” katanya.

Bagaimanapun kata Azlan, kini dia mampu menarik nafas lega apabila industri pelancongan mula kembali berkembang. Kini dia hanya menunggu untuk menerima arahan daripada majikan untuk kembali bekerja sebagai pemandu bas.

Namun begitu, menurutnya, pusat jagaan itu kini berdepan dengan isu lain apabila rumah yang sedang disewanya itu perlu dikembalikan kepada pemilik rumah.

Azlan begitu berharap mereka dapat mengumpul wang yang cukup untuk membeli kediaman yang didiami mereka kini. Foto MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE/HARAKAHDAILY.

Azlan begitu risau jika warga emas yang dianggap seperti ibu bapanya sendiri kehilangan tempat untuk berteduh dan berlindung.

Katanya, mereka diberi tempoh 12 bulan untuk berpindah atau membeli rumah berkenaan. Kini Azlan sedang berusaha untuk mengumpul wang membeli rumah berkenaan berharga RM600,000.

Dalam mempunyai tunggakan bil air dan elektrik, ujar Azlan, apa yang lebih membimbangkan mereka ketika ini adalah bakal kehilangan rumah berkenaan.

“Sebab kalau hendak pergi tempat lain dan menyewa, ramai penyewa tidak benarkan untuk sewa dan dijadikan rumah orang tua, mungkin disebabkan rumah orang tua memerlukan jangka masa panjang untuk disewa.

“Ada yang akan bagi sewa selama setahun hingga dua tahun sahaja, tetapi untuk jangka panjang, ramai yang tidak benarkan untuk disewakan.

“Sekarang ini kami rasa sangat risau, takut kehilangan rumah. Kalau hilang rumah ini, kami tidak tahu ke mana untuk bawa ibu dan bapa (penghuni),” kongsi Azlan sayu.

Azlan masih memerlukan baki sebanyak RM500,000 sebelum mampu memiliki rumah berkenaan, malah katanya wang sumbangan Musaadah Covid-19 yang disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad juga akan disimpan dan digunakan untuk membeli rumah itu.

“Kami tidak mahu guna untuk perkara lain, sebab saya bekerja gaji saya itu akan digunakan untuk makan minum, yang paling penting sekarang kami mahu beli rumah ini, kami risau sangat kehilangan rumah ini,” jelasnya dengan nada kebimbangan.

Berkongsi mengenai warga emas di Pusat Jagaan Warga Emas Al-Fattah, kata Azlan, sebahagian daripada mereka kerap kali merasa sedih mengenangkan nasib ditinggalkan anak.

Apatah lagi apabila Aidil Fitri, mereka akan lebih rindu dan berharap anak mereka akan kembali berjumpa mereka.

Warga Emas menyambut Aidil Fitri bersama dengan serba mencukupi walau tanpa kelularga di sisi. Foto ihsan MOHAMMAD AZLAN

Bagaimanapun Azlan akan cuba menggembirakan warga emas di sini dengan sambutan Aidil Fitri yang meriah dan melayan seperti ibu bapanya sendiri.

Kata Azlan, mustahil untuk dia menggantikan kerinduan mereka kepada anak-anak, tetapi dia berusaha mengupah orang untuk memasak pada Hari Raya, malah membelikan mereka baju raya.

“Hari raya tiada waktu makan seperti hari kebiasaan, mereka boleh makan tidak kira waktu, dari pagi sampai malam, kadang-kadang siap ada mercun dan bunga api.

“Masa raya ada yang mak abah sedih, menangis pun ada sebab teringatkan anak mereka. Ada yang menangis sebab mahu jumpa anak.

“Saya memang usaha gembirakan mereka, sebab saya seronok beraya bersama mereka, tetapi masa itu buat macam mana pun hati mereka tetap berasa sedih.

“Kita cuba usahakan cari, kalau tak jumpa waris memang susah, sebab pernah ada yang meninggal di hospital, kami tak dapat tuntut jenazah sebab masih ada waris, banyak cara kami cuba cari waris,” kongsi Azlan.

Sedar atau tidak, Azlan sebenarnya sudah melangsaikan tugas Fardhu Kifayah yang jika Azlan tinggalkan, tentunya umat Islam akan disoal di kemudian hari.

Malah, apa yang mengejutkan, sikap Azlan menyantuni mereka bukan kerana mahu meraih undi, atau kerana dia merupakan sebuah NGO, tetapi bermula dengan rasa simpati sahaja.

Tentunya, sikap begini merupakan hasil didikan baik ibu bapanya, malah sepanjang usahanya menjaga warga emas, ibu bapa dan isterinya sentiasa menyokong dan tidak mementingkan diri sendiri.

Jika masih ramai ‘Azlan’ di luar sana yang bergerak sendiri menunaikan tanggungjawab kepada masyarakat dan memilih untuk kekal membantu kerana sikap luar biasa mereka, sokonglah ‘Azlan’, usah membunuh sikap luar biasa insan seperti ‘Azlan’. Semoga Allah merahmati. – HARAKAHDAILY 30/5/2022

- Advertisement -