Aliff Syukri wajib terima teguran Menteri Agama

- Advertisement -

PAGI ini jumlah tontonan video raya ‘sotong’ mencecah angka 1 juta. Rakyat Malaysia memang begitu, walaupun marah dan mengecam sesuatu, mereka tetap mencari, menyiasat, menonton dan kembali mengkritik.

- Advertisement -

Asas inilah yang mungkin dikejar oleh segelintir ‘founder‘ dan usahawan kosmetik. Mereka sengaja cipta isu dan kontroversi, yang kemudiannya boleh menaikkan lagi ‘rating’ nama dan jenama mereka. Ia menjadi seakan akan modus operandi utama.

Kini mungkin hajat Dato’ Aliff Syukri tercapai dengan klip video yang mengotori bulan mulia ini telah menjadi ‘trending‘ nombor satu dalam negara. Seterusnya Aliff bukan sahaja kelihatan tidak insaf apabila ditegur Menteri Agama, Datuk Senator Ustaz Haji Idris Haji Ahmad, tetapi masih sahaja tidak malu bangkit mempertahankan klip berkenaan. 

Tidak aibkah Aliff dah isteri kepada anak-anak sendiri yang sejak usia kecil mereka, disuapkan budaya LGBTQ?

Lelaki dengan ‘make up’ tebal, bibir bergincu, memakai barang kemas dan perhiasan, menari lembut seperti ‘sotong busuk’ dan beraksi tertonggek tertungging. Bahkan lebih teruk lagi tidur beramai-ramai dan menari eksotik, seksis dan ghairah? Budaya Barat mana yang mahu dihidang kepada masyarakat?

Kita masih ingat dahulu pernah ada seorang pondan yang kononnya menginsafkan diri, sehingga mengisytiharkan mahu sedekah dan beri percuma semua beg tangan berjenama, kasut-kasut mahal dan semua baju-baju perempuan yang dimiliki. Imejnya kemudian bertukar dengan berjubah dan berkopiah. 

Tidak bertahan lama, setelah produk jualannya jatuh, ia kembali tampil pondan dan taktik ini berjaya kerana nama dan jenamanya kembali menjadi buah mulut masyarakat.

Tidak kurang juga pondan lain yang sengaja pergi ke Makkah berpakaian solat wanita. Ingat bukan? Ini semua kerana mereka tahu stereotaip rakyat Malaysia yang walaupun marah dan mencemuh, tetapi mudah memaafkan. Jadi, jenama dan nama mereka harus ‘hidup’ dengan sifir ini.

Sebab itu kita perhatikan cara ulasan tuan empunya video, “Jadi bagi saya benda ni universal. Kalau kalian tengok video klip orang lain, bukan nak mengungkit… rasanya ada yang lebih teruk. Tapi tak dijadikan bahan mulut. Saya memang nak jadi baik. Jujur saya tak nak ada sebarang publisiti yang tak bagus. Cuma bagi saya orang Malaysia ni suka tengok benda yang ‘eksotik’,” katanya.

Nampak? Orang meniaga tahu kaedah ‘marketing‘ produk serta jenama mereka kerana kecenderungan orang kita sendiri.

Saya kira sudah tiba masa, rakyat Malaysia menolak video-video hodoh dan berunsur kempen LGBTQ sebegini. Hentikan tindakan mempopularkan perkara jelik. 

Untuk Dato’ Aliff, berjiwa besarlah. Terima teguran semua demi kebaikan Ramadan, Syawal dan ummah ini. 

Jika dilihat teguran YB Menteri sendiri cukup lunak dan mendasar ke bumi, “Dengan penuh rendah diri dan kasih sayang saya kepada semua saudara seIslam, semoga nasihat ini adalah kerana Allah dan biarlah Allah sahaja yang menentukan segala aturan kebaikan kepada hamba-Nya,” katanya.

Contohilah anak seni dari bumi Serambi Makkah Kelantan ini yang boleh dijadikan panduan tanpa kontroversi tetapi laris seperti Mustafa Kamal dan lain-lain. Atau pengarah drama yang menghasil karya berkualiti seperti Sabri Yunus dan ramai lagi. Bukan mengimport budaya luar ketika kita sendiri cuba berbangga menjual produk tempatan berasas sumber tradisional.

MOHD AZREEN MUSTAPA
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 26/4/2022

- Advertisement -