Matlamat akhir titik tuju manusia

Ir. Ts. Khairil Nizam sedang menyampaikan tazkirah berjudul, Perancangan yang disertakan Keyakinan dalam program anjuran Bakkah, Tazkirah Zohor Ramadan. (FOTO HARAKAHDAILY/JAMAL KEMALA)
- Advertisement -

OLEH SYAHIRAH SALLEH

KUALA  LUMPUR: “Berusaha terlebih dahulu dengan perancangan yang baik dan teliti, kemudian, barulah berdoa kepada Allah SWT dan tawakal kepada-Nya.”

Begitulah pembuka kata Takzirah Zohor Ramadan yang menampilkan pentazkirah, yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Galeri Media Serbanika (Harakah), Senator Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin, dengan judul, Perancangan yang disertakan Keyakinan.

- Advertisement -

Takzirah anjuran Badan Kebajkan Kakitangan Harakah (Bakkah) yang disampaikan beliau pada Khamis lalu secara langsung dari pejabat Harakah di Jalan Pahang, Off Jalan Pahang Barat, di sini dan boleh diikuti melalui Facebook TV PAS dan HarakahTV itu, menekankan kepada isu perancangan dalam kalangan individu Muslim dalam menjalani rutin kehidupan sebelum masing-masmg menjengah ke alam kematian.

Menurutnya, antara perancangan yang terbaik sebagai manusia sepanjang kehidupan masing-masing adalah perancangan untuk beribadah.

“Maka, pastinya perancangan yang paling baik ialah ia mempunyai matlamat akhir, apa titik tuju kita menjadi seorang manusia.

“Sebagai seorang mukmin, titik tuju kita adalah untuk mencapai keredhaan Allah. Apa jua perancangan yang kita mahu buat, sama ada bersifat jangka masa pendek atau panjang, ataupun jangka masa sederhana, ia mesti datang kepada matlamat akhir, iaitu untuk mendapat keredhaan Allah.

“Sebab kita tahu, alam yang kita duduk sekarang ini, alam dunia tidak panjang. Mati awal bonus, mati lambat subsidi,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, manusia perlu berfikiran jauh setiap kali melafazkan doa kepada Allah SWT berkaitan kehidupan masing-masing di muka bumi ini.

“Kita doa supaya panjang atau pendek umur kita, tetapi apa yang penting umur kita (sepanjang kehidupan) biarlah diberkati. 

“Jadi, kalau hendak doakan (umur) pada sambutan hari lahir, kita doakan supaya mereka diberikan keberkatan umur, bukan dipanjangkan umur semata-mata.

“Jika ada keberkatan pada umur, maka itu lebih baik kepada kita semua sebagai hamba Allah SWT ini. Sebab itu, kita perlu merancang (dalam sepanjang proses) kehidupan (sebagai bekalan) untuk mati,” ungkapnya.

Beliau menegaskan bahawa orangyang paling bijak ialah individu yang membuat perancangan dalam seluruh kehidupannya sebagai persediaan bekalan untuk mati, sebab sebenarnya alam dunia adalah alam yang amat pendek.

“Alam barzakh merupakan alam selepas kehidupan di dunia. Daripada manusia pertama, Nabi Adam AS sehinggalah sekarang ini, belum lagi berlaku hari kiamat.

“Kekasih kita, Rasulullah SAW juga sudah lama meninggalkan kita, masih lagi tidak kiamat, dan kita juga tidak tahu bilakah kiamat itu berlaku walaupun sudah ada tanda-tanda besar atau kecil berkait dengannya.

“Secara asasnya, hidup di alam barzakh lebih lama daripada hidup di alam dunia, apatah lagi hidup di alam akhirat. Manusia pertama, iaitu Nabi Adam, sehinggalah manusia terakhir nanti, semuanya akan dihakimi oleh Allah SWT,” jelasnya.

Pengerusi Bakkah, Shaheedul Thamim menyampaikan cenderahati kepada Ir. Ts. Khairil Nizam selepas selesai tazkirah disampaikan beliau. (FOTO HARAKAHDAILY/JAMAL KEMALA)

Tambah beliau, bukti betapa lamanya hidup di alam akhirat adalah sehinggakan alam akhirat  dinamakan sebagai alam abadi.

“Jadi, kenapa kita mahu laburkan masa yang Allah beri hanya semata-mata untuk dunia. Bagi orang yang memahami undang-undang pelaburan, dia akan melaburkan satu kelebihan yang paling besar.

“Dalam keadaan kita ini, andai kita  melabur untuk  apa yang kita akan dapat untuk dunia semata-mata, ia adalah sesuatu yang merugikan.

“Sebab dunia terlampau pendek, sedangkan alam yang panjang adalah alam barzakh dan alam akhirat, alam  di mana tiada pulangan kembali,” ucap beliau.

Sehubungan itu, menurutnya lagi, mengapa manusia mahu merancang untuk hidup selama-lamanya di muka bumi ini, sedangkan hidup yang paling panjang adalah hidup dalam alam barzakh dan akhirat.

“Orang yang paling bijak ialah orang yang merancang untuk menghadapi kematian, apakah kita telah bersiap siaga dengan kematian?” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Bakkah Shaheedul Thamim Shamsuddin berkata, Takzirah Zohor Ramadan kini sudah memasuki tahun kedua penganjurannya sejak ia dimulakan pada tahun lalu.

“Tazkirah Zohor Ramadan yang dianjurkan pada setiap sepanjang bulan Ramadan ini bukan sahaja untuk staf Harakah dan ahli Bakkah tetapi juga kepada masyarakat umum di luar sana. 

“Sebab itu, kita ada buat lintas langsung setiap kali kemunculan pentazkirah jempitan melalui program ini yang berlangsung dari jam 12.30 tengah hari hingga 1.30 petang dalam kesemua media sosial Harakah, khususnya Facebook PAS dan HarakahTV,” ujarnya kepada HarakahDaily.

Menurutnya, para pentazkirah program itu  pada tahun ini terdiri daripada azatizah yang hebat termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Idris Ahmad dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff.

“Program ini dianjurkan dalam bulan Ramadan ini agar semua dapat  sama-sama muhasabah untuk mendapatkan isi penting dalam tazkirah tersebut supaya  dapat beramal dengannya khususnya pada bulan mulia ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/4/2022

- Advertisement -