Sukar laksana Islam tanpa ada kuasa politik

- Advertisement -

Oleh ASLANI M

MACHANG:
Penglibatan PAS dalam politik demokrasi untuk memastikan hukum hakam yang terkandung dalam al Quran dapat dilaksanakan.

Bagaimanapun Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, usaha itu sukar dilaksanakan tanpa adanya kuasa politik.

Katanya perkara itu berlaku dalam sejarah awal perkembangan Islam di mana Nabi Muhammad s.a.w terpaksa berhijrah ke Madinah bagi membentuk kerajaan Islam yang pertama.

- Advertisement -

“Baginda berhijrah memandangkan penduduk Makkah tidak menerima Islam dan memusuhi baginda,” katanya pada ceramah Badar Qubra di Dataran Kemahkotaan Machang malam tadi.

Hadir sama Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob, Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah, Speaker Dun Kelantan Dato’ Abdullah Ya’kub, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Dato’ Dr Nik Muhamad Zawawi Salleh dan wakil-wakil rakyat.

Program tersebut bermula dengan solat Asar diikuti tadarus al Quran dan iftar beramai-ramai. Program tadarus diketuai Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru Dato’ Dr Johari Mat. Solat tarawih pula diimamkan Syeikh Yasir Al Syarqawi.

Tuan Guru Abdul Hadi berkata, kerajaan Islam Madinah disenangi masyarakat Arab tanpa mengira agama dan bangsa kerana Islam berlaku adil kepada semua pihak.

Menurutnya keadilan kerajaan Islam sebenarnya sudah lama ditunggu masyarakat Arab memandangkan sebelum ini mereka berada di bawah pemerintah yang zalim dan menindas rakyat.

Katanya, Kerajaan Islam Madinah merupakan kerajaan Islam pertama dalam sejarah Islam.

Bagaimanapun kata beliau orang bukan Islam di Makkah tidak senang dengan kerajaan Islam di Madinah memandangkan pengaruhnya semakin berkembang.

“Mereka berusaha menjatuhkan kerajaan Islam Madinah sehingga tercetusnya Perang Badar yang berlaku pada 17 Ramadan iaitu tahun kedua Hijrah berlaku.

“Ia merupakan perang pertama dalam Islam. Badar ialah sebuah lembah yang terletak antara Madinah dengan Makkah.

“Peperangan itu melibatkan tentera Islam seramai 313 orang berhadapan dengan 1,000 orang anggota tentera Musyrikin Makkah yang lengkap dengan senjata. Peperangan itu akhirnya dimenangi tentera Islam,” katanya.

Beliau juga berkata, banyak catatan sejarah menyebut Islam mempelopori pelbagai tamadun dalam kehidupan manusia termasuk memperkenalkan penggunaan cek, pembinaan hospital dan hotel.

Bagaimanapun katanya kecemerlangan tamadun Islam itu tenggelam dengan kedatangan Barat sehingga ramai menganggap tamadun tersebut dicetus di Barat.

Menteri Besar pula berkata, anak-anak muda jangan dibiarkan hanya mendapat maklumat semasa daripada media sosial sahaja kerana banyak perkara yang tidak benar.

“Kita kena ajak dan kumpul mereka bagi menjelaskan perjuangan PAS untuk memartabatkan Islam di negara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/4/2022

- Advertisement -