Agenda penyatuan ummah tetap diteruskan

Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin
- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR:
PAS akan terus berusaha menjayakan agenda penyatuan ummah di negara ini walaupun pembangkang mengambil pendekatan ‘khemah besar’ bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan PAS Pusat, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin, berkata pintu rundingan sentiasa terbuka untuk mana-mana pihak untuk jalin kerjasama bagi memperkukuh gabungan dalam Perikatan Nasional (PN).

“Kalau dia nak bersatu, hal dia lah, memang kita buka pintu rundingan kepada semua pihak, kalau dia taknak tak apa, kita cari pada yang lain pula.

- Advertisement -

“Kita akan terus kerja untuk menyatukan ummah walaupun tidak dipersetujui oleh pembangkang,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily, di sini, hari ini.

Mengulas berkaitan peluang PN dalam PRU15, sekiranya pendekatan diambil pembangkang itu memberi kesan terhadap gabungan parti itu dalam pilihan raya kelak jelas beliau, pihaknya mempunyai strategi tertentu bagi menyekat kemaraan parti pembangkang.

“Mana-mana parti ada peluang, tengok macam mana persiapan kita untuk menghadapi pilihan raya.

“PAS mempunyai pengalaman menghadapi pilihan raya dan kita tahu peluang-peluang itu dan kita berharap dengan penyatuan ummah ini dapat menghalang kemaraan Pakatan Harapan (PH),” ujarnya.

Katanya, PAS meyakini kekuatan yang ada pada jenteranya bagi menghadapi PRU15 dan akan berusaha semaksima mungkin dalam misi penyatuan ummah di negara ini.

Sebelum ini, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu menyatakan pembangkang akan mengambil pendekatan khemah besar bagi menghadapi PRU15.

Beliau bagaimanapun menegaskan, pendekatan itu tidak akan merangkumi parti dalam kerajaan iaitu Umno, PAS dan Bersatu. – HARAKAHDAILY 20/4/2022

- Advertisement -