Khidmat Malaysia bukan NGO ‘syok sendiri’ – Ahmad Yunus

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

PETALING JAYA: Pendaftaran Khidmat Malaysia sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) tidak menjadi masalah untuk badan berkenaan meneruskan peranan untuk menaungi entiti dan NGO di bawah PAS.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Ahmad Yunus Hairi berkata, Khidmat Malaysia perlu bergerak secara berterusan dan tidak dilihat hanya bergerak bermusim.

Katanya, imej itu supaya masyarakat dapat melihat Khidmat Malaysia sebagai sebuah badan kebajikan yang membantu rakyat seiring dengan prinsip PAS yang menawarkan negara berkebajikan.

- Advertisement -

“Khidmat kita kepada rakyat memerlukan bukan sahaja di Selangor, bahkan seluruh negara harus digerak  berterusan supaya dilihat tidak bermusim.

“Ini suatu perkara yang penting dan saya harapkan khidmat kita dilihat secara tidak langsung oleh masyarakat.

“Kita bukan sahaja mendapat pengiktirafan di peringkat parti, tetapi diiktiraf juga NGO di bawahnya dan pihak pengurusan negara. Maknanya, bukan syok sendiri dalam PAS.

“Khidmat Malaysia mempunyai satu kedudukan yang berada pada tempatnya, memberikan kebajikan kepada rakyat negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Berbuka Puasa Khidmat Malaysia Selangor bagi menghargai jasa petugas, NGO dan pihak terlibat semasa banjir besar Selangor, di Hotel Tabung Haji Kelana Jaya, di sini, semalam.

Justeru kata Ahmad Yunus, menjadi peranan penting untuk Khidmat Malaysia mempromosikan badan itu bukan hanya di dalam PAS, tetapi juga kepada masyarakat awam.

Katanya, Lajnah Penerangan PAS Selangor perlu memainkan peranan untuk terus mempromosikan Khidmat Malaysia demi meletakkan Khidmat Malaysia di persada masyarakat dan negara.

“Ini tanggungjawab ataupun strategi yang perlu disusun atur supaya perkhidmatan yang diberikan ini berlaku secara berterusan dan rakyat melihatnya.

“Apatah lagi PAS dilihat sebagai sebuah parti yang terkehadapan dalam program kebajikan, terutamanya seperti Unit Amal dan lain-lain lagi,” jelasnya.

Beliau turut menyatakan ucapan terima kasih dan tahniah kepada petugas, serta NGO dan entiti yang terlibat secara langsung dan tidak langsung sepanjang misi bantuan bencana banjir di Selangor, baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 18/4/2022

- Advertisement -