Sindiket seludup dadah guna pangkalan haram

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah yang melibatkan rampasan dan sitaan harta bernilai RM5.1 juta.

Pengarah JSJN Bukit Aman Dato’ Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM4.6 juta merupakan nilai rampasan 101.5 kilogram syabu, 19 kg pil yaba dan empat liter ubat batuk.

Selain itu kata beliau aset yang disita bernilai RM538,943 di mana dadah terbabit dipercayai bagi memenuhi permintaan tempatan.

- Advertisement -

“Pada 15 April hingga 16 April kita bersama JSJN Kelantan melancarkan enam serbuan sekitar Kelantan, menahan tujuh suspek berusia 25 hingga 46 tahun.

“Modus operandi yang digunakan sindiket terbabit menyeludup masuk bekalan dadah melalui pangkalan haram di Kelantan untuk memenuhi pasaran tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Kelantan, Dato’ Shafien Mamat.

Ayob Khan berkata, sindiket terbabit dipercayai mula aktif dengan aktiviti tersebut sejak Disember tahun lalu didalangi enam lelaki dan seorang perempuan.

Menurutnya kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 16 April lalu bagi membantu siasatan.

“Polis juga melakukan saringan air kencing terhadap tujuh individu terbabit dan mendapati semua suspek negatif penggunaan dadah.

“Namun berdasar semakan rekod jenayah mendapati salah seorang suspek mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah yang pernah dilakukan di bawah Akta Dadah Berbahaya,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/4/2022

- Advertisement -