Ketua AMK Perlis pula terpaksa mohon maaf fitnah Dr Kamarul

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Perlis, Amar Abd Jalil telah mengaku menerbitkan dua kenyataan fitnah terhadap Pensyarah Kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff.

- Advertisement -

Sehubungan itu, Amar yang juga Ketua AMK Cabang Padang Besar telah menyatakan permohonan maaf atas tuduhan dibuatnya terhadap pensyarah di Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) UUM itu.

Anak muda tersebut mengakui dua kenyataannya itu adalah tuduhan tidak benar dan menarik balik semua serta berjanji tidak akan menerbitkan kembali atau yang seumpamanya di masa hadapan terhadap Dr Kamarul.

“Saya, Amar Abd Jalil, merasa amat kesal atas keterlanjuran saya menerbitkan dua kenyataan palsu tersebut dan saya dengan rendah diri dan suci hati tanpa sebarang paksaan memohon maaf kepada Dr Kamarul Zaman Haji Yusoff.

“Kerana telah menyebabkan beliau mengalami kecederaan yang serius sama ada dalam kapasiti peribadi atau profesional beliau,” umumnya dalam kenyataan yang disiarkan semalam.

Amar juga turut mengumumkan menarik balik laporan polis dibuatnya terhadap Dr Kamarul di Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar pada 28 April tahun lalu setelah nyata tuduhan dibuatnya tidak benar dan satu fitnah.

Amar telah menerbitkan di laman Facebook AMK Cabang Padang Besar dan peribadinya pengumuman untuk membuat laporan polis terhadap Dr Kamarul dan jemputan kepada media berkenaan aduan dilakukannya.

Beliau menuduh Dr Kamarul telah membuat satu tulisan di Facebook yang menghina Tuanku Raja Muda Perlis dan sidang media laporan polis terhadap Kamarul Yusoff yang telah menghina Tuanku Raja Muda Perlis.

Amar juga mendakwa tulisan berkenaan telah dibuang oleh Dr Kamarul dan mendesak pihak polis menyiasat di bawah Seksyen 298A dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1988 [Akta 589]. 

“Saya dengan ini juga menegaskan bahawa Dr Kamarul sebenarnya tidak pernah membuat apa-apa hantaran Facebook yang menghina Tuanku Raja Muda Perlis; tidak pernah melakukan apa-apa jenayah yang menyebabkan ketegangan dan kebencian atau menyebabkan keharmonian dan perpaduan terjejas bersandarkan agama.

“Dr Kamarul sebenarnya tidak pernah melakukan jenayah fitnah. Dr Kamarul sebenarnya tidak pernah menulis komen atau komunikasi yang palsu dan menyinggung perasaan orang ramai di internet,” akui Amar.

Dr Kamarul sebelum ini mendapat perhatian umum atas saman fitnah beberapa pihak lain yang menuduh beliau membuat hantaran Facebook mempertikaikan foto Raja Muda Perlis dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim, berbasikal.

Antara mereka sedang disaman beliau kerana isu sama ialah Naib Pengerusi DAP Kedah, Zulhazmi Shariff dan Ketua PAN Ledang, Azhar Ismail serta mantan Pegawai Tugas-tugas Khas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Nur Liyana Ahmad Marzuki.

Turut disaman atas fitnah sama juga ialah mantan Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin, dan mantan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim.

Sebelum ini Dr Kamarul juga menggegarkan arena politik kerana menyaman lapan Ahli Parlimen DAP, iaitu Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Teresa Kok, Chong Chieng Jen, Lim Lip Eng, Wong Kah Woh, Hannah Yeoh, dan Steven Sim.

Selain dua Ahli Parlimen PAN, iaitu Khalid Abdul Samad dan Mohamed Hanipa Maidin, atas beberapa isu yang berbangkit.

Malah beliau sebelum ini menerima banyak permohonan maaf daripada pemimpin politik yang disamannya kerana memfitnah, termasuk lima pemimpin PAN, iaitu peguam Wan Anwar Wan Ibrahim, peguam Mohd Fitri Asmuni, Jamzuri Ardani, Ahmad Zhafri Md Noor dan Kamal Koh Abdullah. – HARAKAHDAILY 16/4/2022

- Advertisement -