Suspek serangan kereta api bawah tanah Brooklyn berjaya ditahan

Frank R. James telah ditahan di St. Mark's Place, Manhattan, New York, Amerika Syarikat pada 13 April 2022. (FOTO Bangor Daily News)
- Advertisement -

NEW YORK: Suspek kejadian serangan tembakan terhadap penumpang sebuah kereta api bawah tanah di Brooklyn, Frank R. James telah ditahan pada Rabu (13 April), lebih 24 jam selepas pengumuman dibuat Jabatan Polis New York (NYPD) untuk memburunya.

Datuk Bandar New York, Eric Adams pada sidang media mengesahkan penahanan lelaki kulit hitam bertubuh gempal yang berusia 62 tahun itu.

- Advertisement -

“Kami sudah berjaya menahannya (Frank R. James),” ujar Adams, pegawai pertama yang bercakap pada sidang media berkenaan.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya NYP,  Keechant Sewell berkata, James telah dikesan oleh orang ramai di East Village petang Rabu itu.

Antara panggilan yang diterima oleh Crime Stopper (Pencegah Jenayah) ialah seseorang yang mengaku dirinya sebagai suspek sendiri.

“Saya rasa kamu sedang mencari saya,” pemanggil itu dilaporkan berkata. “Saya melihat gambar saya di seluruh media berita dan saya akan berada di sekitar McDonalds di East 6th Street dan First Avenue.”

Kelibat Frank L James dirakam kamera pengawasan di lokasi kejadian serangan terhadap kereta api bawah tanah di Brooklyn dan kawasan yang berkaitan pada 12 April 2022. (FOTO WFPL)

Ketika polis tiba di lokasi yang disebut itu, James didapati telah beredar dari situ. Seorang pegawai NYPD berkata mereka sedang menyemak panggilan 911 tetapi pada awalnya percaya James sendiri yang menelefon pihak polis.

Apabila pegawai yang tiba tidak menemuinya di restoran, mereka memandu di sekitar kawasan kejiranan tersebut untuk mencarinya. 

James akhirnya telah dikesan dan ditangkap tanpa sebarang halangan di St. Mark’s Place dan 1st Avenue.  Ketika ditahan lelaki itu memakai baju-T biru dan berseluar gelap sebelum digari dan kemudian dibawa dengan kenderaan polis ke Presint ke-9 di East 5th Street.

Suspek dijangka hadir di mahkamah persekutuan pada Khamis (14 April). Seorang peguam yang dilantik mahkamah untuk James tidak menjawab permintaan pihak untuk memberikan sebarang ulasan.

Detik cemas penumpang kereta api bawah di Brooklyn selepas diserang dengan bom asap dan tembakan rambang pada pagi 12 April 2022. (FOTO abcnews.go)

Namun, peguam Daerah Timur New York,  Breon S. Peace berkata, James  berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan. 

Dalam serangan kereta api bawah di Brooklyn pada Selasa (12 April) itu, 10 penumpang cedera ditembak penyerang terbabit, manakala 13 yang lain mengalami kecederaan ketika menyelamatkan diri.

Dalam kenyataan NYPD berkata, penyerang memakai topi keledar dan jaket pekerja binaan serta topeng gas tiba-tiba melemparkan dua bom tangan asap ke lantai kereta api bawah tanah berkenaan ketika ia menghampiri perhentian sebelum melepaskan tembakan bertubi-tubi terhadap penumpang kira-kira jam 8:30 pagi Selasa.

Selepas serangan itu, ujar kenyataan tersebut, penyerang meninggalkan kereta api bawah tanah berkenaan dan menaiki kereta api bawah tanah yang lain sebelum turun di perhentian di 25th Street.

Van U-Haul yang disewa atas nama Frank L James ditemui ditinggalkan di sebatang jalan raya di kejiranan Gravesend, Brooklyn, New York pada lewat 12 April 2022. (FOTO Marca.com)

Terdahulu, polis telah menemui pelbagai barangan di dalam kereta api  bawah tanah yang diserang itu, termasuk pistol 9 milimeter Glock, tiga majalah berkenaan peluru, kad kredit tertera nama James dan kunci van U-Haul yang disewa lelaki itu.

Kenderaan itu ditemui ditinggalkan di sebatang jalan di kejiranan Gravesend lewat petang Selasa, kira-kira lima batu dari perhentian 36th Street di Sunset Park, tempat kejadian serangan itu berlaku. 

Menurut aduan jenayah yang difailkan Rabu di mahkamah persekutuan, James telah menempah dan membuat prabayar untuk van itu pada 6 April lalu, dan datang mengambilnya  di Philadelphia pada 11 April. 

Kira-kira jam  4:11 pagi pada Rabu di hari kejadian, kamera pengawasan merakam James melintasi Verrazzano-Narrows Jambatan ke Brooklyn.

Pada jam 6:12 pagi, menurut aduan itu, kamera pengawasan di West 7th Street dan Kings Highway di Brooklyn merakam seseorang yang kelihatan mirip James yang berbaju kuning meninggalkan van tersebut sebelum meninggalkannya di tempat ia ditemui NYPD.  – Agensi

- Advertisement -