Pola pengundian semasa menghantui DAP

- Advertisement -

DAP kini punya Setiausaha Agung baru iaitu Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke. Bekas Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng dilantik Pengerusi parti manakala tokoh veteran Lim Kit Siang mengumumkan bersara dari politik. Di dalam struktur organisasi DAP sebagaimana parti-parti aliran Sosialis dan Komunis lain, Setiausaha Agung parti memiliki kuasa dan memegang jawatan eksekutif tertinggi parti. 

- Advertisement -

Pasca Pilihan Raya Negeri Johor baru-baru ini, ternyata rekod DAP semakin merosot berbanding PRU ke-14 tahun 2018 dahulu. Sokongan masyarakat bukan-Melayu khasnya kaum Cina terhadapnya mula berkurangan manakala para pengundi Melayu terus menolaknya.

Adakah Loke memiliki kemampuan mengemudi DAP untuk kembali cemerlang dan menebus kekalahan partinya dalam siri-siri pilihan raya bermula PRK Cameron Highlands sehinggalah PRN Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor atau beliau akan menjadi Setiausaha Agung yang bakal menyaksikan terpelanting keluar DAP dari arus perdana politik negara?

Pensyarah USM Ahmad Fauzi Abdul Hamid berpandangan bahawa dengan Loke sebagai Setiausaha Agung DAP yang baru, tanpa Kit Siang dan Guan Eng, Loke boleh membuktikan yang parti berkenaan bukannya sebuah parti bersifat Nepotisma. Pada saya umum mengenali DAP sekian lama sebagai sebuah parti keluarga Lim dan Karpal. Sentimen Nepotisma mungkin dirasai oleh ahli-ahli parti tetapi di luar rakyat tidak menjadikan faktor ini penyebab menolak DAP.

Saya lebih bersetuju apabila Ahmad Fauzi menyebut bahawa kelemahan DAP sesungguhnya adalah pada kegagalannya untuk menolak imej parti orang Cina. Kononnya jika imej Malaysia dibawa terlalu cepat, DAP bimbang akan kehilangan undi tegar masyarakat Cina yang merupakan simpanan tetapnya.

Faktor imej parti Cina ini dipersetujui oleh James Chin dari Institut Asia, Universiti Tasmania. Menurut Chin pula ramai masyarakat Cina kecewa dengan DAP apabila gagal memenuhi janji dan tuntutan perjuangannya sepanjang 22 bulan mereka diberi peluang memerintah melalui Pakatan Harapan.

Kata Chin lagi dalam pemilihan parti DAP baru-baru ini, lantaran dominasi kaum Cina, sukar untuk pemimpin DAP Melayu dan India mendapat tempat dalam kepimpinannya. Mampukah Loke merubah masalah imej ini yang sudah berlarutan sekian lama sedangkan sehebat Kit Siang dan Guan Eng pun tidak mampu?

Dalam keadaan kedudukan mereka yang semakin tercabar, kemungkinan DAP tiada pilihan, tersepit antara mahu menjaga ‘simpanan tetap’ mereka atau menggadaikan segala-galanya. Pasti DAP terpaksa mengekalkan imejnya itu walau ada yang melihat ia hodoh.

Lim Guan Eng dalam mengulas kekalahan DAP dalam PRN Johor baru-baru ini menyebut bahawa jika pola pengundian PRN Johor kekal sehingga PRU ke-15 nanti, DAP bakal kecundang di 5 dari 42 kerusi yang diwakilinya di Parlimen hari ini. Lima kerusi yang dimaksudkan itu mungkin Raub, Bentong, Labis, Tenom dan Mas Gading.

Raub, Bentong dan Labis masing-masing punya bilangan pengundi Cina kurang dari 50 peratus, di sinilah kebimbangan DAP, kerana PRN Johor membuktikan kerusi-kerusi seumpama ini tidak lagi selamat buat DAP. 

Tetapi dalam PRN Johor DAP bukan hanya kalah di kerusi-kerusi seumpama ini, kerusi DUN Yong Peng umpamanya  yang punya 59.58 peratus pengundi Cina pun DAP kalah. Adakah pola pengundian PRN Johor ini sesungguhnya bakal membawa masa depan yang gelap buat DAP walaupun dengan Setiausaha Agung baru?

Kerana itu sebagaimana dalam penulisan saya sebelum ini, saya memperingatkan khasnya kepada para pengundi Melayu Islam, gunakanlah kekuatan undi kita untuk memastikan kebaikan dan masadepan yang cerah buat ummah. 

Ternyata pola pengundian yang menjadi kebimbangan DAP itu merujuk kepada kekuatan dan kemampuan undi Melayu Islam yang bersatu. Jika kita bersatu menolak mana-mana parti yang tidak menjaga dan memperjuangkan nasib dan kepentingan kita, bukan hanya di kerusi majoriti Melayu kita boleh ‘mematikan’ mereka, di kerusi campuran dan malah di kerusi majoriti bukan Melayu pun, jika bilangan kita dalam 30 ke 40 peratus kita masih boleh berperanan ‘mematikan’ mereka.

DAP kini rata-rata ditolak masyarakat Melayu Islam hasil dari kesedaran masyarakat berkenaan dari hal agenda dan dasar perjuangan parti berkenaan.

Apakah perjuangan DAP yang harus menjadi iktibar dan sempadan buat kita? Negara atau Malaysia jenis apakah yang mahu dibina DAP kiranya mereka kembali berkuasa, biar disedari dan diketahui kita semua.

Ada yang berpandangan bahawa kiranya kita mahu tahu bagaimana Malaysia yang DAP cita-citakan maka kita perlu menoleh ke seberang Selat Johor. Di Singapura, tiada kontrak sosial yang diperakui. Singapura memberi hak sama rata kepada semua kaum tanpa ada hak keistimewaan sebagimana hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera di sini. Di Singapura tiada contohnya kuota kemasukan ke IPTA kerana semuanya ditentukan atas dasar meritokrasi.

Mengapa perlu lihat Singapura? Kerana DAP menurut rekod ditubuhkan ketika PAP bertindak angkat kaki keluar dari Malaysia apabila Singapura terpisah dari Malaysia. DAP dikira mewarisi perjuangan PAP. Slogan ‘Malaysian Malaysia‘ yang pernah dipopularkan DAP sebelum ini adalah slogan yang sama dibawa oleh PAP di bawah mendiang Lee Kuan Yew ketika Singapura sebahagian Malaysia dulu.

Lebih tepat lagi kita boleh merujuk beberapa rakaman video menunjukkan bagaimana mendiang Lee Kuan Yew melihat Islam dan Melayu di Singapura. Dalam satu rakaman popular yang boleh dimuat naik melalui Youtube, Kuan yew menyatakan bahawa masyarakat Melayu sukar menjayakan proses integrasi kaum di Singapura kerana terlalu berpegang teguh pada agama.

Dalam video itu Kuan Yew sebut masyarakat Melayu gagal bergaul baik dengan masyarakat bukan Melayu lantaran kekangan agama. Sukar makan dan minum bersama kerana menitikberatkan halal-haram, sukar kahwin campur kerana mahukan pasangan yang bukan Islam menukar agamanya.

Inilah fahaman Sekular yang pekat terpaku dalam minda pimpinan PAP sehingga menganggap lantaran pegangan pada Islam, masyarakat Melayu menjadi penghalang pada kemajuan negara berkenaan. DAP juga memperjuangkan sebuah negara yang Sekular, adakah DAP juga bakal meminjam pendirian dan pandangan Kuan Yew ini?

Kesimpulannya DAP hari ini bukan lagi teguh dan kukuh sebagimana keadaannya pasca PRU 14 dahulu sehingga mampu ‘bersemayam’ di Putrajaya. Berdasarkan trend semasa DAP juga boleh dikalahkan. Kita punya kekuatan untuk menentukan nasib DAP sebenarnya, maka pergunakanlah sebaiknya hak kita, jangan lagi persiakan nasib dan masa depan kita.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 14/4/2022

- Advertisement -