Cabaran berpuasa di negeri matahari tengah malam

Keadaan matahari pada waktu tengah malam di Iqaluit
- Advertisement -

IQALUIT (KANADA): Nama bandar ini yang bermaksud `tempat ikan’ dalam bahasa Inuit seperti kawasan lain berhampiran Artik, waktu siang musim panas adalah lebih 20 jam dengan cahaya matahari terang benderang pada waktu tengah malam.

Sesetengah orang di sini lebih menyukai keadaan ini berbanding kegelapan musim sejuk. Namun, bagi komuniti kecil umat Islam yang semakin berkembang, kehidupan di kawasan yang matahari pada waktu tengah malam, memberikan cabaran besar ketika Ramadan.

- Advertisement -

“Saya tidak pernah pengsan walau sekali pun” kata Abdul Karim, 29, antara segelintir penduduk Islam bandar ini yang sedaya upaya menyesuaikan tempoh berpuasa sejak berpindah dari Ottawa pada 2011.

Katanya, bersahur pada tahun ini adalah kira-kira jam 1.30 pagi sebelum matahari terbit dan berbuka puasa kira-kira jam 11 malam apabila matahari terbenam.

“Satu-satunya sebab untuk berhenti puasa ialah jika ia membahayakan kesihatan saya,” katanya sambil menunjuk ke arah badannya yang besar. Dia ketawa sambil berkata: “Tetapi melihat tubuh ini, saya tidak fikir puasa akan menyakiti saya.”

Sepanjang Ramadan, umat Islam di seluruh dunia memberi lebih tumpuan meningkatkan amal ibadah, namun di sini dan kawasan lain Artik, tempoh siang yang panjang memaksa perubahan dilakukan dalam pendekatan berpuasa.

Majoriti umat Islam di sini mengikut waktu puasa di Ottawa yang terletak kira-kira 2,092 kilometer (KM) di selatan berdasarkan nasihat ulama yang menyatakan bahawa umat Islam di bahagian utara harus menyambut Ramadan menggunakan waktu Makkah atau bandar terdekat.

Atif Jilani berkata, jika mengikut waktu Ottawa, mereka masih perlu berpuasa kira-kira 18 jam sehari. Namun, dia yang berpindah ke sini dari Toronto setahun lalu berkata: “Hari tetap panjang, tetapi lebih mudah diuruskan.”

Komuniti Islam yang hanya kira-kira 100 orang sering berbuka puasa bersama-sama di masjid serba baharu bandar ini ketika suhu turun sehingga -50 Celsius dengan angin sejuk. Ketika menikmati hidangan tradisional seperti kurma dan kari kambing, matahari bersinar terang melalui tingkap.

Masjid di Iqaluit

Inilah pemandangan di seluruh masjid paling utara Kanada sepanjang Ramadan, ketika masyarakat Islam bergelut dengan geografi unik Kanada.

Presiden Pusat Islam Yellowknife, Nazim Awan, berkata kira-kira 300 penduduk Islam di Wilayah Barat Laut itu mempunyai beberapa pilihan untuk berpuasa ketika Ramadan dengan pengecualian hanya kepada kepada wanita hamil atau mereka yang sakit.

“Mungkin ada manusia yang ingin berpuasa selama 23 jam, tetapi pilihan lain adalah mengikut niat dan semangat berpuasa dengan mengikuti waktu bandar berdekatan atau boleh mengikut waktu Makkah dan Madinah,” katanya.

Sejak beberapa tahun lalu, majoriti umat Islam di sini memilih untuk berpuasa dengan mengikuti waktu Edmonton di Alberta.

Nazim yang mempunyai dua anak kecil, termasuk seorang berusia 12 tahun yang baru mula berpuasa, memilih untuk mengikut masa di Makkah.

Dia berharap dapat menggalakkan anaknya berpuasa dengan mengikuti waktu yang lebih terurus, iaitu kira-kira 15 jam berbanding 18 jam di Edmonton. “Jika saya mengikuti waktu Yellowknife atau Edmonton, anak saya mungkin tidak dapat bertahan,” katanya.

Oleh kerana mustahil untuk mengikuti pergerakan matahari tempatan, umat Islam di Inuvik, sebuah bandar kecil yang terletak 193 KM di utara bulatan Artik, memilih untuk mengikuti waktu Edmonton. “Kami ketika ini mempunyai matahari selama 24 jam sehari. Tiada matahari terbit atau terbenam,” kata Ahmad Alkhalaf.

Lokasi Iqaluit di Kanada

Mengikuti waktu Edmonton dilaksanakan sejak 2001 apabila dia berpindah dari Toronto ke komuniti kecil bandar itu yang mempunyai kira-kira 3,500 penduduk

“Ramadan pertama saya di sini adalah pada bulan Disember. Tiada matahari pada masa itu. Keadaan gelap sepanjang hari dan malam. Jadi kami menggunakan masa Edmonton,” katanya.

Ahmad berkata, kadang-kadang sungguh mencabar dari segi psikologi untuk berpuasa dengan mengikuti masa di tempat lain, berbanding apa yang sebenar berlaku di luar.

“Kami sepatutnya berbuka puasa dan makan ketika matahari terbenam. Saya tidak biasa berbuka puasa sedangkan di luar, matahari sudah naik,” katanya.

Kebanyakan penduduk di Inuvik adalah kaum Inuit dan masyarakat Islam berusaha mencapai keseimbangan antara Ramadan dan budaya serta tradisi tempatan. Hidangan berbuka puasa termasuk kurma dan kari serta menu tempatan seperti rusa kutub, disediakan mengikut syariat Islam.

“Kami masak sup atau kari, kami menghidangkan beriani, tetapi bukan menggunakan daging lembu dan sebaliknya, rusa,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/4/22

- Advertisement -