Kepungan berdarah Sarajevo 30 tahun lalu sukar dilupakan

- Advertisement -

SARAJEVO: Perang Bosnia 1992 yang bermula dengan pengepungan tentera Serbia ke atas bandar ini dan menyebabkan lebih 100,000 orang terbunuh, meninggalkan kesan yang masih terasa hingga kini walaupun beberapa dekad berlalu.

Kesatuan Eropah (EU) mengiktiraf kemerdekaan Slovenia dan Croatia pada 15 Januari 1992, namun memberi layanan berbeza terhadap Bosnia-Herzegovina dengan keperluan mengadakan referendum yang keputusannya, rakyat di wilayah bekas Yugoslavia mahukan kemerdekaan.

- Advertisement -

Serb Bosnia memboikot referendum itu dalam usaha menjadikannya tidak sah dengan alasan kekurangan penyertaan. Di sebalik segala rintangan dan kesukaran, Bosnia-Herzegovina mengisytiharkan kemerdekaan daripada Yugoslavia pada 1 Mac 1992.

Beberapa hari selepas negara Balkan itu mencapai kemerdekaan, tentera Serbia mengepung Sarajevo pada 5 April. Pengepungan itu memulakan perang berdarah yang berterusan selama tiga setengah tahun dan meninggalkan tragedi besar dan kenangan yang masih menghantui hingga kini.

Serb menyasarkan kawasan majoriti Islam dengan matlamat untuk mengisytiharkan wilayah Serb Bosnia baharu yang bergabung dengan Serbia.

Kira-kira 13,000 askar Serb berada di bukit sekitar Sarajevo dan mengepung bandar itu, menjadikan penduduk Sarajevo sebagai sasaran dengan menggunakan senjata berat dan ringan.

Walaupun Bosnia-Herzegovina menubuhkan pasukan tentera, namun tidak dapat memecahkan kepungan Serb kerana tidak mempunyai senjata dan peralatan yang mencukupi.

Kepungan tentera paling lama dalam sejarah moden

Diakui sebagai kepungan tentera paling lama dalam sejarah moden, Sarajevo dikepung secara berterusan selama 1,425 hari dan menyebabkan 11,541 orang, termasuk 1,601 kanak-kanak, maut.

Peperangan juga merebak ke seluruh negara berikutan pengepungan Sarajevo, menyebabkan kira-kira 100,000 orang terbunuh. Sekurang-kurangnya dua juta orang pula terpaksa meninggalkan rumah mereka.

Peperangan dan pertumpahan darah berakhir pada 21 November 1995, apabila pihak Bosnia, Serbia dan Croatia, mencapai persetujuan di Ohio, Amerika Syarikat (AS).

Hasil inisiatif diplomat AS, Richard Hallbrooke, perjanjian damai Dayton ditandatangani oleh Presiden Bosnia-Herzegovina pertama, Alija Izetbegovic, dan kemudian Presiden Serbia dan Croatia, Slobodan Milosevic dan Franjo Tudjman.

Sarajevo diserang pada 5 April 1992 dan dikepung sehingga 26 Februari 1996.

Peta kepungan

Bekas pekerja agensi kartografi Bosnia dan Herzegovina, Fikret Logic, telah memetakan pengepungan Sarajevo selama 44 bulan.

Katanya, ini bertujuan menyedarkan generasi akan datang mengenai apa yang berlaku ketika pengepungan dan tidak membiarkan mereka melupakan pengepungan berdarah itu.

“Penyediaan peta itu mengambil masa kira-kira tiga tahun dan ia diedarkan di sekolah seluruh Bosnia-Herzegovina,” katanya. – ANADOLU

- Advertisement -