MSC kini ahli gabungan ISTAF

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Entiti baharu sepak takraw, Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) menerima satu lagi khabar gembira apabila diterima sebagai ahli gabungan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) berkuat kuasa Isnin lepas (4 April).

- Advertisement -

Setiausaha Agung ISTAF Abdul Halim Kader berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa eksekutif ISTAF pada Isnin selepas MSC mengemukakan permohonan untuk menjadi ahli gabungan badan induk sepak takraw dunia itu pada 6 Mac lepas.

“Jawatankuasa Eksekutif ISTAF mendengar pembentangan daripada Timbalan Presidennya Boonchai Lorhpipat dan Presiden MSC Datuk Suhaili Abdul Rahman termasuk dokumentari dan serahan lisan.

“ISTAF seterusnya mengakui bahawa MSC adalah satu-satunya badan yang mentadbir urus dan mengawal sepak takraw di Malaysia. Jawatankuasa Eksekutif ISTAF amat kagum dengan permohonan oleh MSC,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Halim berkata surat sokongan yang dikemukakan oleh MSC kepada pihak berkuasa sukan Malaysia iaitu Kementerian Belia dan Sukan serta Pejabat Pesuruhjaya Sukan memberi gambaran kuat kepada mereka untuk dipertimbangkan sebagai ahli gabungan ISTAF yang baharu.

Dalam pada itu, Abdul Halim dari Singapura yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) akan menyampaikan penerimaan ini kepada Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai tanda hormat dan hubungan baik antara ISTAF dengan Malaysia.

“ISTAF amat berbesar hati dengan perkembangan terbaharu ini di Malaysia, merakamkan penghargaan kami kepada ASTAF dan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia atas bantuan yang diberikan dalam hal ini. Marilah kita bekerja dan terus menuju ke hadapan bersama-sama dalam semangat perpaduan demi kemajuan sukan kita – sepak takraw,” katanya.

Pada 5 Mac lepas, MSC disahkan sebagai ahli rasmi ASTAF yang baharu.

Sepak takraw negara berhadapan krisis selepas ASTAF menggugurkan keahlian Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) pada Mei 2021, berikutan tindakan Presidennya Datuk Seri Ahmad Ismail dalam kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF, menyerahkan sepucuk surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada 24 Februari tahun lepas.

Ahmad, atau lebih dikenali sebagai Tok Mat kemudian melepaskan jawatannya dalam PSM pada Jun 2021, diikuti pelbagai usaha oleh PSM untuk mendapatkan semula keahlian dalam ASTAF.

Bagaimanapun, ASTAF baru-baru ini mengesahkan badan itu tidak akan menerima PSM sebagai ahli gabungan.

Susulan itu, Pesuruhjaya Sukan membenarkan MSC mendapatkan kepercayaan ASTAF dan ISTAF untuk menjadi wakil Malaysia dalam sepak takraw di peringkat antarabangsa. – BERNAMA

- Advertisement -