Adam dan Hawa tak sama

- Advertisement -

ABU Hurairah R.A berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

- Advertisement -

 ما مِن بَنِي آدَمَ مَوْلُودٌ إلَّا يَمَسُّهُ الشَّيْطَانُ حِينَ يُولَدُ، فَيَسْتَهِلُّ صَارِخًا مِن مَسِّ الشَّيْطَانِ، غيرَ مَرْيَمَ وابْنِهَا

“Tiada anak Adam akan terlepas dari gangguan syaitan ketika mereka dilahirkan. Mereka meraung dek gangguan syaitan. Kecuali Maryam dan anaknya.”

[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

Dunia Adam dan Hawa

Hadis ini sebenarnya merujuk kepada firman Allah S.W.T:

 فَلَمَّا وَضَعَتۡهَا قَالَتۡ رَبِّ إِنِّي وَضَعۡتُهَآ أُنثَىٰ وَٱللَّهُ أَعۡلَمُ بِمَا وَضَعَتۡ وَلَيۡسَ ٱلذَّكَرُ كَٱلۡأُنثَىٰۖ وَإِنِّي سَمَّيۡتُهَا مَرۡيَمَ وَإِنِّيٓ أُعِيذُهَا بِكَ وَذُرِّيَّتَهَا مِنَ ٱلشَّيۡطَٰنِ ٱلرَّجِيمِ

“Ketika isteri Nabi Zakaria melahirkannya, dia berkata: “Wahai Tuhan, sesungguhnya aku melahirkan perempuan. Allah lebih tahu apa yang dia lahirkan. Lelaki bukanlah seperti perempuan. Aku namakannya Maryam. Dan aku mohon perlindungan dariMu terhadap dia dan zuriatnya, daripada syaitan yang direjam.”

[al-‘Imran: 36]

Sebelum kita bincang Hadis di atas, cuba kita perhatikan dulu kalamullah berkenaan ‘lelaki bukanlah seperti perempuan‘. Kenapa sampai perlu dinyatakan di dalam al-Quran? Bukankah mana-mana orang yang waras pun boleh nampak, lelaki sangat berbeza dengan perempuan?

Fakta ini disebut kerana terdapat pelajaran yang besar terutama dalam menentang fahaman Liberalisme dan Feminisme. Kesamarataan gender (gender equality) yang diangkat sehingga menjadi sasaran SDG di bawah PBB perlu dicermati sebaiknya oleh Muslim. Cukuplah dengan ayat ini bagi menyatakan prinsip Genderisme di dalam Islam.

Tuhan jadikan lelaki dan wanita berbeza, bukan untuk bersaing tapi untuk melengkapi. Firman Allah S.W.T:

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ

“Orang beriman lelaki dan orang beriman wanita; sebahagian mereka menjadi pembantu sebahagian yang lain.”

[At-Taubah: 71]

Tuhan juga tidak jadikan lelaki dan wanita sama rata. Bukan bermaksud tidak adil, tetapi supaya hubungan itu punya hierarki organisasi yang kukuh. Firman Allah S.W.T:

وَلِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌ

“Bagi lelaki itu kedudukan tinggi mengatasi wanita.”

[al-Baqarah: 228]

Tuhan jadikan wanita itu lemah fizikal dan mentalnya (relatively) berbanding lelaki bukan kerana tidak adil, tetapi supaya mereka disayangi dan dijaga sentiasa. Firman Allah S.W.T:

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ

“Orang lelaki adalah penjaga orang perempuan.”

[al-Nisa`: 34]

Fitrah wanita, cukup untuk mereka disayangi dan diberi perhatian sewajarnya dari insan tersayang, mereka akan rasa merekalah orang paling bahagia di dunia. Bahagia; bukankah itu hasrat semua manusia di atas dunia? 

Maryam tokoh agamawan 

Hadis ini juga menunjukkan kemuliaan Maryam berbanding manusia lain. Tiada manusia selain dia anaknya Nabi Isa A.S yang tidak diganggu syaitan saat kelahiran. Kedua mereka adalah insan yang sangat istimewa!

Bahkan boleh dianggap Maryam adalah wanita paling istimewa di zamannya ekoran firman Allah S.W.T:

 وَإِذۡ قَالَتِ ٱلۡمَلَٰٓئِكَةُ يَٰمَرۡيَمُ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصۡطَفَىٰكِ وَطَهَّرَكِ وَٱصۡطَفَىٰكِ عَلَىٰ نِسَآءِ ٱلۡعَٰلَمِينَ

“Ketika malaikat berkata: “Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu, mensucikanmu, dan memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi perempuan-perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu).”

[ali-‘Imran: 42]

Ia juga adalah tempelak Feminisme yang menganggap Islam merendahkan darjat wanita. Para ulamak menganggap Maryam adalah sebahagian wali Allah. Wali bermaksud kekasih. Bukan semua lelaki boleh menggapai darjat wali ini.

Malah beliau merupakan wali memiliki karamah tersendiri sehingga direkodkan di dalam al-Quran dan menjadi hujah kewujudan karamah bagi wali. Firman Allah S.W.T:

كُلَّمَا دَخَلَ عَلَيْهَا زَكَرِيَّا الْمِحْرَابَ وَجَدَ عِندَهَا رِزْقًا ۖ قَالَ يَا مَرْيَمُ أَنَّىٰ لَكِ هَٰذَا ۖ قَالَتْ هُوَ مِنْ عِندِ اللَّهِ ۖ إِنَّ اللَّهَ يَرْزُقُ مَن يَشَاءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ

“Setiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, Baginda dapati rezeki (buah-buahanan yang luar biasa) di sisinya. Baginda bertanya:” Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini?” Maryam menjawab; “Ia dari Allah. Sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya tanpa berkira”.”

[ali-‘Imran: 37]

Syaitan ganggu anak 

Inilah perkara utama yang ingin disampaikan daripada Hadis ini. Seawal kelahiran manusia, mereka sudah memiliki musuh yang sentiasa akan mengganggu sehingga mereka mati.

Boleh jadi kerana inilah, Nabi S.A.W mengajarkan kita azan pada telinga kanan bayi baru lahir dan iqamah di telinga kiri. Mudah-mudahan terselamat dari gangguan syaitan laknatullah.

Sabda Rasulullah S.A.W:

إِذا نُودِي بالصَّلاةِ، أَدْبرَ الشيْطَانُ ولهُ ضُرَاطٌ حتَّى لاَ يسْمع التَّأْذِينَ

“Apabila seruan azan berkumandang, syaitan akan berpaling sehingga terkentut-kentut. Dia akan lari sehingga tidak lagi mendengar azan.”

[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

ALANG IBN SHUKRIMUN – HARAKAHDAILY 6/4/2022

- Advertisement -