“KAK Taz nak OKU Kelantan menjadi OKU al Muqarrabun rapat dengan Allah S.W.T.”
“Dalam masa yang sama OKU yang kreatif, yang inovatif, yang boleh membantu OKU lain.”
Ada kisah menarik sehingga pernyataan di atas dilontarkan. Dalam Program Sambutan Hari OKU DUN Demit pada 25 Mac 2022 yang lalu, YB Dato Hajah Mumtaz Md Nawi, Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan dalam ucapan, beliau menceritakan serba ringkas bagaimana gagasan Dasar OKU Muqarrabun Negeri Kelantan bermula.
Cerita Kak Taz menjadi ilham untuk tulisan ringkas ini mengenai bagaimana idea Tok Guru mencorak pembangunan OKU di Kelantan.
Hampir 1 dekad berlalu, pada tahun 2012 almarhum Tok Guru Nik Aziz menganjurkan program bersama OKU dan berbincang untuk mengetahui apa yang OKU mahukan daripada Negeri Kelantan. Maka setelah seharian berbincang daripada pagi sampai petang akhirnya keluarlah beberapa resolusi .
Antara perkara yang Tok Guru sebut dan bincang ialah Tok Guru mahukan OKU Kelantan ini menjadi orang yang rapat dengan Allah S.W.T. Jadi idea Tok Guru ini akhirnya menjadi asas penting kepada Dasar OKU Muqarrabun. Muqarrabun bermaksud orang yang rapat dengan Allah S.W.T .
Pada tahun 2013, selepas Pilihan Raya Umum ke-13, YB Hajah Mumtaz atau Kak Taz mula diangkat menjadi kerajaan negeri dengan portfolio kebajikan. Lalu melalui Unit Kebajikan, Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) di bawah tanggungjawab beliau telah dirangka beberapa mekanisme memastikan kebajikan dan kesejahteraan OKU terjaga.
Antara usaha terawal yang dibuat adalah dengan melantik Penyelaras Pembangunan OKU Negeri (PPON) , seorang OKU fizikal yang merupakan aktivis yang aktif OKU Kelantan pada tahun yang sama.
Kemudian pada tahun 2014, Majlis Persefahaman Orang Kurang Upaya Kelantan (MPPOK) telah ditubuhkan sebagai memenuhi tanggungjawab kecaknaan pihak kerajaan terhadap golongan OKU.
Badan yang diiktiraf kerajaan Negeri Kelantan ini diterajui oleh OKU sendiri dan menaungi 7 NGO bagi OKU dan 4 persatuan berkaitan OKU yang menjadi rakan kerjasama NGO. Kesemua NGO atau persatuan tersebut ialah;
7 NGO OKU
1. Persatuan Insan Istimewa Kelantan (INSANI)
2. Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia Cawangan Kelantan (SBM)
3. Persatuan Orang Pekak Kelantan (POPK)
4. Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia Wilayah Kelantan (PERTIS)
5. Persatuan Rekreasi Cakna OKU Kelantan (RCO)
6. Persatuan Orang Kelainan Upaya Berkerusi Roda Kelantan (OKUSIDA)
7. Persatuan Prihatin Minda Istimewa Kelantan (PMIK)
4 Persatuan Berkaitan OKU
1. Persatuan Sindrom Down Negeri Kelantan (PSDNK)
2. Persatuan Jaya Diri OKU dan Asnaf Kelantan (JDOA)
3. Kelab OKU Laloh (KELOLA)
4. Kelab Usahawan OKU Pahi (USAHAKU)
Seterusnya pada tahun 2016, satu gagasan khas untuk pembangunan OKU telah dirangka yang diberi nama Gagasan OKU Muqarrabun. Gagasan ini dirangka telah menjadi dasar penting kerajaan negeri melalui U-KeKWa sebagai komitmen dalam usaha membangunkan OKU berasaskan potensi dan keupayaan diri mereka.
Dalam tahun yang sama, Majlis Penasihat OKU Negeri Kelantan (MPON) telah ditubuhkan bagi merangka dan menyediakan garis panduan serta model pembangunan OKU. Majlis ini dianggotai oleh 13 orang ahli dalam kalangan pakar-pakar daripada bidang perundangan, pendidikan, perubatan dan sebagainya.
7 jawatankuasa penting telah diwujudkan bagi membantu Majlis bagi memainkan peranan dan fungsinya dalam membangunkan OKU Kelantan. 7 jawatankuasa (JK) tersebut adalah;
1. JK Gagasan OKU Muqarrabun dan Advokasi
2. JK Pendaftaran OKU
3. JK Prasarana dan Pengangkutan
4. JK Pendidikan
5. JK Kesihatan dan Pemulihan
6. JK Pembangunan Sukan dan Kebudayaan
7. JK Penyelerasan Pekerjaan dan Pembangunan Ekonomi
Kemuncak pada tahun 2017, Gagasan OKU Muqarrabun yang telah menjadi sub dasar di bawah U-KeKWa telah mendapat perhatian Istana apabila pertama kali dititahkan oleh Pemangku Sultan Kelantan dalam pembukaan siding DUN pada 23 Mac 2017.
Seterusnya pada tahun 2018, Kerajaan Negeri Kelantan mencetuskan pembaharuan dengan mewujudkan penyelaras OKU di setiap kawasan Parlimen seluruh negeri. Penyelaras OKU Parlimen ini berperanan untuk membantu kebajikan golongan OKU dalam Parlimen masing-masing.
Terkini dalam sidang DUN pada 30 Mac 2022 yang baru berlalu, Kak Taz seterusnya sekali lagi konsisten menyebut mengenai Gagasan OKU Muqarrabun.
Pada hemat saya, perjalanan panjang usaha pembangunan OKU Kelantan sehinggalah terbentuk Gagasan OKU Muqarrabun yang telah dijadikan dasar penting Kelantan bukanlah suatu komitmen mudah. Ia juga bukanlah komitmen eksklusif satu pihak sama ada kerajaan, NGO atau mana-mana individu sahaja.
Gagasan OKU Muqarrabun adalah komitmen tulus semua pihak secara bersungguh-sungguh sehinggalah ia dapat dicapai dengan jayanya ketika ini. Baiknya pemimpin, baiklah rakyatnya dan pemimpin yang baik lahir daripada rakyat yang baik.
Semoga gagasan ini terus gemilang di bawah pimpinan Kak Taz dan dukungan padu di kalangan NGO-NGO dan rakyat. Insya-Allah gagasan ini akan terus gemilang walau dipimpin oleh sesiapa sahaja berasaskan landasan dasar utama Membangun Bersama Islam.
Salam Ramadan. Sempena Ramadan, selamat menyambut hari OKU peringkat negeri Kelantan yang akan berlangsung tak lama lagi dalam bulan Ramadan ini.
ZIKRULLAH ISMAIL
Penulis Tamu
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 6/4/2022