Pergi tidak kembali

- Advertisement -

DALAM kitab Min Wahyi Ramadhan karya Syeikh Yusuf Al-Dighfaq menyentak sanubari kita bahawa sekuat mana sekalipun kita, semuanya akan menemui kematian. Melalui ingat kematianlah sebenarnya lebih menginsafkan diri kita:

- Advertisement -

فيا أيها المسلم الصائم أين أبوك، أين جدك، أين أمك، أين جدتك، أين الأوائل، ذهبوا آلى آجالهم فاعتبر يا أخي المسلم، ولا يغرك طول العمر ولا يغرك مالك ولا صحتك الوافرة ولا جاهك ولا منصبك، فالله قادر أن يقصم ظهرك ويرديك بالهلاك ويسلب عنك الصحة والعافية والغنى ويجعلك أضعف ما يكون من خلقه

“Wahai orang Islam yang berpuasa, mana ayahmu, mana datukmu, mana ibumu, mana nenekmu, mana orang-orang terdahulu? Semuanya sudah pergi menemui ajal mereka. Maka ambil pengajaranlah wahai saudara seislamku. Janganlah kamu tertipu dengan umur yang panjang dan janganlah kamu tertipu oleh hartamu, kesihatanmu yang baik, pangkatmu, mahupun kedudukanmu. Maka Allah mampu melumpuhkan kamu, membinasakan kamu, merampas semula nikmat kesihatan, keafiatan serta kekayaanmu dan menjadikanmu selemah-lemah ciptaan-Nya”.

Ketika berpuasa, hati seseorang Muslim itu akan sentiasa yaqazah iaitu sedar dan berkurangannya ghaflah. Imam Al-Ghazali menyebut dalam Ihya’ Ulum Al-Din bahawa ghaflah atau lalai adalah penyakit merbahaya yang akan menyebabkan seseorang itu sangat takut kematian. Inilah penyakit Al-Wahn yang menular dalam masyarakat iaitu cintakan dunia dan takut akan mati. Penyakit Al-Wahn ini boleh dilenyapkan melalui tamrin berpuasa yang sahih sepanjang Ramadhan.

Sehebat dan secerdik mana sekalipun kita, pengakhirannya akan menemui kematian jua. Kita pasti keseorangan di alam barzakh, jika amal soleh diterima Allah, ia akan menjadi teman bersama. Tetapi jika kita mati dan meninggalkan seribu satu kejahatan, hanya seksaan ditanggung badan. Rebutlah kebaikan, hindarilah kejelekan, pergi tidak kembali tetapi berbahagia di syurga Ilahi.

ASRI ED-DIWANIE – HARAKAHDAILY 5/4/2022

- Advertisement -