Syarikat gagal patuhi perjanjian dibatal kontrak ladang

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Kerajaan negeri memastikan projek ladang hutan yang dilaksanakan dengan kerjasama syarikat swasta dilaksanakan sebagaimana perjanjian yang ditandatangani.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob bagaimanapun berkata, kegagalan syarikat terbabit menyebabkan kerajaan negeri terpaksa membatalkan kontrak ladang hutan melibatkan kawasan seluas 12,000 hektar.

- Advertisement -

Katanya, terdapat syarikat yang menandatangani perjanjian bagi membangun ladang hutan gagal mengusahakannya.

“Kerajaan negeri bertindak merampas semula deposit dan mengenakan denda kepada syarikat-syarikat yang tidak bertanggungjawab tersebut.

“Kerajaan akan membuat tawaran semula dalam bentuk tender kepada mana-mana pihak yang berminat bagi mengusahakan semula projek ladang hutan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Dato’ Mohd Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Sebelum itu Mohd Adhan meminta kerajaan negeri menyatakan keluasan tanah yang diperuntuk kerajaan untuk projek ladang hutan.

Ahmad juga berkata keluasan Zon Pembangunan Ladang Hutan di Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Kelantan yang dilulus Majlis Tanah Negara pada 9 Ogos 2012 seluas 199,000 hektar. – HARAKAHDAILY 30/3/2022

- Advertisement -