Bayaran royalti, wang ihsan jauh berbeza

Dr Mohamed Fadzli Hassan
- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIS ISMAIL

KOTA BHARU:
Kerajaan negeri akan terus membuat tuntutan royalti petroleum dan menegaskan sehingga sekarang belum lagi menerima sebarang bayaran mengenainya.

Anggota Exco kerajaan negeri Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, bayaran royalti petroleum dan wang ihsan jauh berbeza.

Katanya, wujud kekeliruan antara bayaran royalti dan wang ihsan yang disumbang kerajaan Persekutuan sebelum ini.

- Advertisement -

“Ada pihak kata kerajaan negeri sudah terima royalti, sebenarnya kita masih belum terima royalti sebab royalti ada definisinya sendiri termasuk bayaran tunai dua kali setahun.

“Selain itu lima peratus dikenakan daripada jumlah pengeluaran. Sedangkan wang ihsan kita tidak tahu apa yang dibayar kadang-kadang bayarannya tidak menentu, ada banyak ada sedikit,” katanya pada persidangan Dun hari ini.

Kerajaan negeri sebelum ini menerima wang ihsan yang diberi kerajaan pusat termasuk RM400 juta disumbang Tun Dr Mahathir Mohamad ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.

Dr Fadzli juga berkata, kerajaan negeri menubuh sebuah jawatankuasa khas bagi membuat kajian dan dokumentasi yang akan dibentang kepada kerajaan dalam masa terdekat.

Kata beliau jawatankuasa tersebut yang turut disertai bekas Penasihat Undang-Undang Negeri Dato’ Shahidani Abd Aziz, Prof Dato’ Dr Shamrahayu Abdul Aziz, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan, Dato’ Mohd Amar Abdullah dan beliau sendiri.

Katanya, jawatankuasa tersebut akan melihat kembali asas tuntutan royalti selepas kerajaan negeri menarik balik saman terhadap Petronas dan kerajaan Pusat.

“Kerajaan negeri juga melakukan persiapan bagi mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung tuntutan Royalti.

“Perjumpaan sentiasa adakan antara kedua-dua pihak, terakhir baru-baru ini perdana menteri ada sebut akan ada pertemuan sekali lagi,” katanya.

Sebelum itu Dato’ Mohd Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) mempersoalkan tindakan kerajaan negeri menarik balik saman terhadap Petronas yang difailkan sejak 2011.

Menjelaskan perkara itu Dr Fadzli berkata, saman ditarik balik kerajaan negeri dengan mengambil kira janji kerajaan Pusat untuk membayar royalti petroleum kepada Kelantan. – HARAKAHDAILY 30/3/2022

- Advertisement -