JPS kaji cadangan pembinaan lebih banyak SMART

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang meneliti beberapa cadangan berkenaan pembinaan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART).

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Mansor Othman, berkata ini berikutan kejayaan operasi SMART dalam mengurangkan impak banjir di Kuala Lumpur.

- Advertisement -

Bagaimanapun, katanya kos pembinaan terowong SMART adalah sangat tinggi, selain pembinaan yang sangat kompleks dan akan mengambil tempoh masa yang lama.

“Oleh itu, kajian secara terperinci adalah sangat perlu supaya dapat memberi faedah kepada negara dan rakyat bagi mengurangkan impak banjir kilat yang lebih menyeluruh di Kuala Lumpur,” katanya menjawab soalan lisan Senator Dato’ Husain Awang di Dewan Negara, hari ini.

Husain yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu meminta Menteri Alam Sekitar dan Air, menyatakan sejauh mana kajian yang dibuat berhubung cadangan pembinaan lebih banyak SMART dan bandar span di kawasan yang berisiko banjir.

Mansor berkata, cadangan pembinaan SMART dan bandar span di kawasan yang berisiko banjir perlu diteliti mengikut kesesuaian dan keperluan geografi setempat.

Sementara itu, katanya JPS merancang dan melaksanakan program rancangan tebatan banjir secara struktur dan bukan struktur bagi mencapai penyelesaian masalah banjir yang holistik dan optimum.

Katanya, rancangan tebatan banjir secara struktur meliputi komponen kerja yang luas merangkumi SMART, pembinaan kolam takungan banjir dan empangan.

“Konsep Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) menekankan kawalan kuantiti dan kualiti air larian di punca dan kawalan kualiti melalui pelan kawalan hakisan dan kelodak untuk mengurangkan impak banjir dan pencemaran.

“Amalan terbaik yang disarankan dalam MSMA adalah dengan pembinaan kolam takungan banjir, wetland, swale, penuaian air hujan dan tempat letak kereta telap air,” katanya.

Beliau berkata, bandar span pula merangkumi konsep mengekalkan air dari punca, memperlahankan aliran, merawat air secara semula jadi dan bersedia untuk mengadaptasi kepada persekitaran.

Bagaimanapun, katanya sebahagian konsep bandar span terdapat dalam garis panduan MSMA dan Kabinet bersetuju pemakaian MSMA sebagai syarat kelulusan pelan pembangunan melibatkan infrastruktur saliran sejak 1 Januari 2001. – HARAKAHDAILY 29/3/22

- Advertisement -