Tabung Haji jadi ikon kebanggaan Dunia Islam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tabung Haji menjadi ikon kebanggaan dunia Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad.

Menurutnya, perkembangan itu yang memperteguhkan semangat beliau dan untuk menjaga amanah Tabung Haji sebaik mungkin.

- Advertisement -

Beliau berkata, perkara itu dinyatakan Ketua Pengarah Imigresen Arab Saudi yang telah memuji Malaysia kerana mendapat kemudahan pemeriksaan Imigresen Arab Saudi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Persidangan Pameran Haji dan Umrah di Jeddah Superdome.

Idris hadir pada persidangan itu atas undangan rasmi bagi mewakili kerajaan Malaysia.

Menurutnya, sesi pertama persidangan membincangkan berkaitan tajuk Transformation Towards Innovation and Technology.

Barisan panel terdiri daripada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah, Ibrahim A. Al-Omar (Ketua Pengarah Syarikat Penerbangan Arab Saudi), Kolonel Jeneral Suliman A. Al-Yahia (Ketua Pengarah Imigresen), Abdulrahman F. Addas (Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Diraja Bagi Kota Suci Makkah) dan Dr. Abdulrahman S. Al-Jadhai (Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Elm).

“Dalam sesi tersebut, Ketua Pengarah Imigresen Arab Saudi telah memuji negara Malaysia kerana mendapat kemudahan pemeriksaan Imigresen Arab Saudi di KLIA berikutan Malaysia sebagai antara negara pertama melaksanakan program prapelepasan untuk jemaah haji di negara asal,” ujarnya dalam hantaran di laman sosial beliau, malam tadi.

Ini, katanya merupakan satu pengiktirafan yang besar kepada negara Malaysia dalam persidangan tersebut.

“Inilah apa yang kita sentiasa pertegaskan. Tabung Haji menjadi ikon kebanggaan Dunia Islam.

“Ini memperteguhkan semangat saya dan kita semua untuk menjaga amanah Tabung Haji sebaik mungkin,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 22/3/2022

- Advertisement -