Drama ‘Perempuan Itu’ tidak wajar disiarkan – JAKIM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan drama ‘Perempuan Itu’ tidak wajar disiarkan pada bila-bila masa.

Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, JAKIM mengambil perhatian serius isu video sedutan drama itu yang tular di media sosial.

- Advertisement -

“Berdasarkan penelitian, Jabatan ini menentang keras penyiaran program seumpama ini yang jelas mempamerkan perbuatan-perbuatan yang dilarang oleh Islam dengan aksi dan adegan tidak bermoral yang melampaui batas serta bertentangan dengan norma masyarakat dan hukum syarak,” ujarnya dalam kenyataan, semalam.

Justeru, beliau menegaskan, drama seumpama itu tidak wajar disiarkan pada bila-bila masa apatah lagi di bulan Ramadan.

Katanya lagi, JAKIM telah menyatakan pendirian dan pandangan mengenai isu ini kepada pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Dalam Negeri dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia supaya tindakan tegas dapat diambil segera.

Sehubungan itu, tambahnya JAKIM menggesa semua pihak sama ada stesen penyiaran, penerbit, penulis skrip dan para pelakon agar lebih cakna dan mengelakkan isu-isu seumpama itu.

Ini, ujarnya kerana ia akan menyerap masuk ke dalam jiwa masyarakat khususnya golongan remaja dengan budaya dan norma yang bersalahan dengan ajaran Islam dan amalan murni masyarakat Malaysia.

“JAKIM tidak akan berkompromi dengan isu-isu seumpama ini dan akan sentiasa bersama dengan semua pihak berkuasa berkenaan bagi memantau dan mengambil tindakan sewajarnya agar ianya tidak berulang,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 22/3/2022

- Advertisement -