Pesawat China Eastern Airlines bawa 132 orang terhempas: Tiada mangsa selamat ditemui

Rakaman yang disiarkan dalam talian menunjukkan kepulan asap yang berkepul-kepul dari kawasan pergunungan dan hutan, lokasi pesawat China Eastern Airlines terhempas di daerah Tengxian, berhampiran bandar Wuzhou di wilayah Guangxi Zhuang, di selatan China pada 21 Mac 2022. (FOTO People's Daily)
- Advertisement -

GUANGZHOU: China Eastern Airlines dalam kenyataan terbaharunya pada hari ini, Selasa (22 Mac) mengesahkan tiada mangsa selamat ditemui selepas 18 jam gerak kerja menyelamat dilakukan di lokasi sebuah pesawat miliknya yang membawa 132 orang terhempas pada petang semalam (21 Mac) di sebuah kawasan pergunungan di selatan China.

“Tiada seorang pun mangsa yang selamat ditemui setakat ini di lokasi kejadian,” kata penyampai agensi berita China, CCTV pada awal pagi Selasa.

Terdahulu, syarikat penerbangan tersebut semalam mengesahkan terdapat kematian selepas pesawat malang berkenaan terhempas di lokasi kejadian tanpa memperincikan maklumat lanjut atau memberikan butiran mengenai mangsa yang terselamat.

“Kami ingin merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada penumpang dan anak kapal yang maut dalam nahas pesawat itu,” kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan.

- Advertisement -

Pesawat Boeing 737-800 China Eastern Airlines yang membawa 123 penumpang dan sembilan anak kapal itu terhempas di daerah Tengxian, wilayah autonomi Guangxi Zhuang, di selatan China.

Sementara Presiden China, Xi Jinping dalam kenyataan rasminya sebagaimana dilaporkan agensi media CCTV sebagai berkata beliau ‘terkejut’ dan mengarahkan siasatan segera mengenai punca nahas itu.

Xi menyeru agar segala usaha dilakukan untuk menyelamat dan penyiasatan dibuat untuk mengetahui punca kemalangan itu secepat mungkin.

Terdahulu, Pentadbiran Penerbangan Awam China  (CAAC) dalam satu kenyataan pada Isnin (21 Mac) berkata, penerbangan pesawat malang itu dalam perjalanan dari Kunming di wilayah barat Yunnan ke pusat perindustrian Guangzhou di pantai timur China.

“Pesawat itu membawa 123 penumpang dan sembilan anak kapal,” jelas CAAC, yang membetulkan laporan awal bahawa 133 orang berada di dalam kapal terbang tersebut.

Pesawat China Eastern Airlines yang terhempas di daerah Teng, berhampiran bandar Wuzhou di wilayah Guangxi, China pada 21 Mac 2022 telah dikenalpasti sebagai Penerbangan No. MU5735.

Menurut CAAC, ia telah menghantar sepasukan pegawai, dan perkhidmatan bomba Guangxi berkata, gerak kerja dijalankan untuk mengawal kebakaran lereng gunung yang dicetuskan oleh nahas itu, yang meyaksikan penduduk kampung berhampiran lokasi kejadian bergegas membantu usaha menyelamat.

“Semua orang bergegas ke kawasan pergunungan (lokasi kejadian),” ujar Tang Min, yang mengendalikan sebuah restoran beberapa kilometer dari lokasi nahas, memberitahu AFP melalui panggilan telefon.

Seorang penduduk kampung memberitahu laman berita tempatan China bahawa pesawat itu telah ‘pecah sepenuhnya’ dan dia telah melihat kawasan hutan di lokasi kejadian musnah akibat kebakaran disebabkan pesawat malang itu terhempas ke lereng gunung.

Rakaman yang disiarkan dalam talian dan dikongsi oleh media kerajaan China, People’s Daily pula menunjukkan kepulan asap yang berkepul-kepul dari kawasan pergunungan dan hutan, lokasi pesawat malang itu terhempas.

Klip lain pula menunjukkan apa yang kelihatan seperti serpihan pesawat di laluan gunung berlumpur.

Dalam foto yang diambil melalui telefon bimbit yang dikeluarkan oleh Agensi Berita Xinhua ini, serpihan pesawat China Eastern MU5735 dilihat selepas ia terhempas di gunung di daerah Tengxian, wilayah autonomi Guangxi Zhuang, China selatan pada Isnin, 21 Mac 2022. (FOTO AP)

Jabatan bomba Wuzhou telah mengerahkan 117 anggota dan 23 trak bomba ke lokasi kejadian, manakala seramai 538 anggota bomba dari wilayah Guangxi turut dihantar bagi operasi menyelamat berkenaan.

Data dari laman web pengesan penerbangan FlightRadar24 mendapati, pesawat yang terhempas itu adalah Penerbangan No. MU5735.

Ia menunjukkan Boeing 737-89P itu jatuh mendadak dari ketinggian 29,100 kaki kepada 3,225 kaki dalam masa tiga minit, sebelum maklumat penerbangan terhenti. Pesawat itu berhenti menghantar data pada jam 2.22 petang (waktu tempatan) sejurus tiba di barat daya bandar Wuzhou.

Kebimbangan terhadap nasib pesawat itu mulai tersebar pada petang Isnin apabila media tempatan melaporkan bahawa penerbangan itu tidak tiba seperti yang dirancang di Guangzhou pada jam 3.05 petang (waktu tempatan), selepas ia berlepas dari Kunming pada jam 1.11 tengah hari (waktu tempatan).

Menurut Rangkaian Keselamatan Penerbangan, kali terakhir pesawat China terhempas adalah pada 2010, apabila 44 daripada 96 orang di dalam pesawat serantau Embraer E-190 milik Henan Airlines terhempas ketika menghampiri Lapangan Terbang Yichun dalam jarak penglihatan yang rendah.

Sebelum itu pada 1992, sebuah pesawat China Southern Airlines jenis Boeing 737-300 yang dalam penerbangan dari Guangzhou ke Guilin terhempas semasa hendak mendarat, membunuh kesemua 141 orang di dalamnya terdiri daripada penumpang dan anak kapal. – Agensi

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -