Konflik Rusia dan Barat di Ukraine: Masa untuk Dunia Islam bangkit

- Advertisement -

KETIKA artikel ini ditulis, perang di antara Rusia dan Ukraine sudah memasuki minggu keempat tanpa ada lagi tanda-tanda ianya akan berakhir, bahkan kebarangkalian agak besar ianya akan merebak dengan lebih meluas.

Tindakan Barat mengenakan pelbagai sekatan ke atas Rusia nampaknya tidak diendahkan langsung oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin bahkan tentera Rusia terus meningkatkan serangannya ke atas Ukraine untuk mencapai objektif utamanya iaitu menghancurkan keupayaan ketenteraan Ukraine yang dibantu oleh NATO.

Dalam artikel Serambi Dunia Islam di Harakah keluaran 19 Februari 2022 yang lalu, saya menggariskan tiga senario utama yang mungkin berlaku dalam konflik Rusia-Ukraine. Salah satunya ialah peperangan besar dan pertembungan secara langsung antara Rusia dan Amerika Syarikat.

Sebelum wujud konflik Rusia dan Ukraine, pertembungan antara Rusia dan Barat adalah rahsia terselindung walaupun kedudukan Rusia agak lemah selepas kejatuhan Soviet Union dan seterusnya menjadikan Barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat sebagai kuasa tunggal utama dunia.

- Advertisement -

Setelah beberapa lama menyepi, Rusia mula membangunkan kekuatan ekonomi dan persenjataannya di era Vladimir Putin sehingga berjaya menandingi bahkan mengatasi sistem persenjataan Amerika Syarikat seperti jet pejuang Sukhoi SU-57 yang setaraf dari segi kecanggihannya tetapi lebih murah harganya berbanding F-35 milik Amerika Syarikat dan sistem peluru berpandu anti pesawat S-500 yang jauh lebih canggih daripada Patriot milik Amerika Syarikat.

Malahan beberapa ketika sebelum berlakunya perang Rusia-Ukraine, Rusia melancarkan beberapa siri ujian peluru berpandu balistik ‘hipersonik’ seperti Avangard, Tsirkon dan Khinzal yang mana Amerika Syarikat masih lagi ketinggalan kerana Rusia amat memahami di era ini siapa yang menguasai langit maka dialah yang menguasai bumi.

Sebelum ini, pertembungan Rusia-Amerika Syarikat hanya membabitkan perang proksi yang berlaku di beberapa buah negara seperti Syria, Yaman dan Libya. Manakala, konflik terbaharu yang berlaku di Ukraine ketika ini nampaknya akan beralih kepada fasa baharu iaitu pertembungan secara langsung antara Rusia dan Amerika Syarikat.

Beberapa hari lalu akhbar The New York Times menyiarkan satu artikel yang bertajuk This Is How World War 3 Begins yang ditulis oleh Bret Stephens meramalkan bahawa Perang Dunia Ketiga boleh meletus pada bila-bila masa berdasarkan persamaan sebab-sebab yang mencetuskan Perang Dunia Kedua lebih 70 tahun yang lalu.

Tindakan Rusia menyerang pusat latihan tentera yang menempatkan pelatih termasuk tentera dan kelengkapan persenjataan NATO di sempadan Ukraine-Poland memberi isyarat bahawa Rusia sanggup meluaskan operasinya di luar Ukraine untuk mencapai matlamatnya.

Jika sekiranya konflik Rusia-Ukraine tidak dapat diselesaikan, maka ia membuka medan-medan pertembungan baharu antara Rusia dan Barat khususnya di Timur Tengah. Syria dan Hizbullah hanya menunggu masa agar Rusia memberi lampu hijau untuk membedil jet-jet pejuang Israel yang menceroboh sewenang-sewenang ruang udara Syria.

Tindakan Iran beberapa hari lepas membedil pusat latihan Mosad Israel di Irbil, Iraq dipercayai mendapat “lampu hijau“ daripada Rusia. Menurut beberapa penganalisa geopolitik, ia adalah serangan peluru berpandu terbesar oleh Iran semenjak terkorbannya Qassim Soleimani.

Ia juga berkemungkinan akan turut merebak ke Asia Timur khususnya pertembungan antara Amerika Syarikat-China baik berkaitan Taiwan atau Laut China Selatan. Ketika ini, telah berlaku “ugutan“ oleh Barat terutamanya Amerika Syarikat ke atas China agar menyebelahinya dalam konflik Rusia-Ukraine serta tidak membantu Rusia dalam konflik tersebut jika tidak mahu menerima akibat buruk.

Hipokrit Barat

Barat yang kononnya memperjuangkan demokrasi nampaknya hanya omongan kosong sahaja. Kebebasan bersuara dan media yang menjadi teras kepada demokrasi Barat nampaknya hanya terpakai kepada mereka sahaja. Boleh dikatakan kesemua media sosial utama yang dikuasai Barat seperti Youtube menyekat akses media Rusia.

Facebook dan Twitter memberi galakan kepada pengguna agar mengutuk Rusia dan Vladimir Putin dari segenap sudut. Medan sukan seperti bolasepak, Formula 1 dan tenis memberi galakan supaya berpihak kepada Ukraine sedangkan dalam isu umat Islam seperti Palestin dan Uyghur mereka mendakwa jangan campur adukkan politik dengan sukan. Nah, sekarang ini mereka yang menelan ludah sendiri.

Satu ketika dahulu, Barat termasuk Amerika Syarikat mengecam dan mengenakan sekatan ke atas pasukan militia berhaluan kanan white supremacy di Ukraine, Azov Battalion dengan melabelkan mereka sebagai Neo Nazi dan berbahaya tetapi kali ini mereka dipuja dan diagungkan termasuk diberikan segala kelengkapan persenjataan bagi menghadapi Rusia.

Barat memberi galakan kepada rakyat mereka untuk ke Ukraine berjuang bersama-sama tentera Ukraine bagi menentang pencerobohan Rusia tetapi jika mana-mana individu Islam yang bersama pejuang Palestin untuk menentang penjajahan dan kezaliman rejim zionis Israel, ia dianggap pengganas.

Tanda-tanda kejatuhan Amerika Syarikat

Secara sedar atau tidak, konflik ini mendedahkan kelemahan Amerika Syarikat satu persatu serta sudah tidak dihormati oleh sekutu-sekutu rapatnya di kalangan negara-negara Eropah kecuali United Kingdom yang sentiasa menjadi sekutu rapat Amerika Syarikat sejak dahulu umpama anjing dengan tulang yang tidak dapat dipisahkan.

Sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas Rusia tidak dipraktikkan keseluruhannya oleh Jerman yang menjadi teras utama ekonomi kepada Kesatuan Eropah oleh kerana kebergantungan sektor ekonominya kepada sumber gas asli Rusia agak besar. Andaikata Rusia menyekat saliran gas asli Nord Stream 1 kepada Jerman, maka ia akan merencatkan ekonominya yang memberi kesan kepada Eropah.

Turki pula tidak mengikut arahan Amerika Syarikat agar menutup ruang udaranya kepada Rusia walaupun ia salah satu dari negara anggota NATO. Bahkan sekarang ini Turki memainkan peranan penting agar termeterainya perjanjian damai antara Rusia dan Ukraine di mana jika ianya berlaku, ia akan menjatuhkan maruah dan menjejaskan reputasi Barat terutamanya Amerika Syarikat.

Ketika ini Barat terutamanya Amerika Syarikat memberikan tekanan hebat kepada Switzerland supaya bank-bank di Switzerland seperti UBS dan Credit Suisse menyekat aset-aset dan simpanan milik Rusia dan Oligarch Rusia yang dikatakan bernilai puluhan billion dollar namun bank-bank tersebut hanya menutup operasi mereka di Rusia dan menyatakan aset dan simpanan dari Rusia adalah amat kecil.

Ugutan Amerika Syarikat ke atas China agar tidak menyokong dan membantu Rusia langsung tidak diendahkan oleh China. India turut tidak terkecuali seperti tidak langsung memihak kepada Amerika Syarikat malah langsung tidak mengecam tindakan Rusia ke atas Ukraine. Sepertinya saat ini, sudah wujud jaringan negara-negara besar yang tidak bersama-sama Amerika Syarikat dan Barat ketika ini.

Ia jauh sama sekali dengan hasrat Barat yang mahu konflik ini berpanjangan supaya Rusia terus ditekan dari pelbagai sudut yang akhirnya tunduk sujud kepada Barat. Barat hanya mempertaruhkan Ukraine untuk kepentingannya sahaja tanpa mempedulikan berapa ramai nyawa warga Ukraine yang terkorban.

Provokasi melampau Amerika Syarikat terhadap Rusia dengan menjadikan Ukraine sebagai ‘umpan’ akhirnya akan memakan diri Barat khususnya Kesatuan Eropah. Konflik ini akan membebankan Kesatuan Eropah serta membuka ruang kepada malapetaka yang lebih besar.

Dari segi fizikal Amerika Syarikat kurang terjejas kerana kedudukannya yang jauh daripada tempat berlakunya konflik. Akan tetapi yang paling terkesan adalah Kesatuan Eropah kerana menjadi sekutu Amerika Syarikat. Lambakan pelarian perang Ukraine membanjiri negara-negara Eropah sehingga hari ini sudah mencecah lebih daripada tiga juta orang.

Masa Dunia Islam untuk bangkit

Terkini, sekutu kuat Amerika Syarikat di Timur Tengah iaitu Arab Saudi dan UAE enggan mengikut arahan Amerika Syarikat agar menambah pengeluaran minyak mentah bagi mengurangkan kenaikan harga petroleum sehingga Amerika Syarikat terpaksa menghantar Boris Johnson, Perdana Menteri United Kingdom supaya memujuk Arab Saudi melakukannya. Namun sebaliknya, Arab Saudi menghubungi China dan memberi bayangan akan menggunakan matawang Yuan dan bukan lagi Dollar dalam urusan jual beli minyak mentah dengan China.

Tindakan ini agak janggal jika dilihat kepada sejarah negara-negara teluk ini yang menjadi sekutu rapat Amerika Syarikat sejak penubuhan negaranya yang mana perdagangan minyak mentah digelar Petrodollar kerana pautan minyak mentah kepada dollar. Jika ia benar-benar  berlaku, ia memberi tamparan yang sangat hebat ke atas Barat walaupun terdapat faktor-faktor politik dalaman di sebaliknya.

Situasi yang berlaku ketika ini sepatutnya digunakan untuk membina kekuatan sesama negara Dunia Islam, bukan beralih dari qiblat Barat kepada qiblat China atau Rusia. Kekuatan yang dimiliki oleh Dunia Islam lebih daripada berkemampuan untuk menjadi kuasa besar dunia sebagaimana zaman kegemilangan Islam dahulu. Akan tetapi kelemahan kepimpinan Dunia Islam menjadi halangan untuk menggerakkan kekuatan ini.

Kelemahan ini wajar ditinggalkan dan diwujudkan kesatuan serta kefahaman baharu yang menguntungkan Dunia Islam secara keseluruhan.  Walaupun terdapat perbezaan tetapi persamaan yang paling utama ialah Islam dan penyatuan ummah. Jadikan Islam sebagai titik perjuangan dan kebangkitan, hentikan persengketaan dan kuatkan persaudaraan.

Khalil Hadi
Muhammad Khalil Abdul Hadi

Negara-negara Islam seperti Turki, Pakistan, Iran, Arab Saudi, Qatar, Indonesia, Malaysia dan UAE wajar bekerjasama antara satu sama lain bagi membina kuasa baharu Dunia Islam. Sekarang bukan lagi masa dipimpin tetapi Dunia Islam hendaklah memimpin dunia ke arah sistem politik Islam yang adil.

Jika ini berjaya direalisasikan, nescaya Islam akan kembali gemilang dan terbilang tanpa perlu bergantung kepada mana-mana pihak mahupun memihak kerana sebenarnya, Islam dan Dunia Islam mampu berdiri dengan teguh seterusnya kembali menyinar dipersada dunia.

Islam Menyatukan Ummat

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 19/3/2022

- Advertisement -