Kemenangan Cikgu Aziz jadi penawar kepada PAS Johor

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Ustaz Abdullah Husin menyifatkan kemenangan Abdul Aziz Talib di DUN Maharani pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu sebagai penawar untuk meneruskan perjuangan yang masih panjang.

Sehubungan itu, beliau yang juga Naib Pengerusi Perikatan Nasional negeri mengucapkan tahniah kepada Abdul Aziz yang mesra dengan panggilan Cikgu Aziz.

Beliau menyatakan demikian menerusi laman Facebooknya, hari ini yang kebetulan dapat bertemu dengan Cikgu Aziz.

- Advertisement -

“Alhamdulillah tengah hari tadi saya sempat bertemu dengan YB Cikgu Aziz Talib selaku ADUN Maharani yang juga merupakan wakil tunggal PAS Negeri Johor yang baru,” ujarnya.

Katanya, beliau menyampaikan ucapan tahniah daripada Perhubungan PAS negeri kepada Cikgu Aziz dan sempat berkongsi pengalaman dan memberi dorongan semangat.

“Beliau mengharapkan doa daripada kita semua agar diberikan kekuatan dan semangat dalam menjalankan tanggungjawab sebagai ADUN Maharani,” katanya yang pernah memenangi kerusi DUN Putera Wangsa pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Ustaz Abdullah turut melahirkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana wakil PAS dapat memenangi kembali DUN Maharani yang dulunya pernah dimenangi oleh parti itu selama dua penggal.

“Kemudian PAS mengalami kekalahan satu penggal dan dapat ditebus kembali kekalahan kita pada PRN kali ini dengan majoriti yang besar lebih daripada 1,000 undi. Alhamdulillah, ini satu kurniaan daripada Allah SWT,” kataya lagi

Menurutnya, sejak dari tahun 2004 sehingga kini, PAS negeri tidak pernah putus mempunyai wakil dalam DUN.

Walau bagaimanapun, katanya Cikgu Aziz merupakan wakil Perikatan Nasional.

“Jadi kita ucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan Perikatan Nasional yang memberi laluan kepada kita khususnya YB Cikgu Aziz untuk bertanding di DUN Maharani. Kemenangan ini adalah kemenangan Perikatan Nasional.

“Alhamdulillah, bagi PAS inilah kesinambungan perjuangan kita dan diharap dapat jadi penawar untuk kita meneruskan perjuangan yang masih panjang lagi,” katanya.

Tambahnya, pertemuan dengan Cikgu Aziz hari ini adalah satu kenangan yang sangat manis.

“Inilah satu sinar baru untuk Perikatan Nasional Negeri Johor dan khususnya PAS itu sendiri,” ujarnya yang bertandng di DUN Pulai Sebatang pada PRN kali ini.

Pada PRN baru-baru ini, Cikgu Aziz memperoleh 7,559 undi berjaya memenangi DUN Maharani dengan majoriti 1,037 undi.

Calon PH, Nor Hayati Bachok mendapat 6,522 undi, Noor Farah Shamsudin (BN-5,861), Muhamad Hanis Asmui Md Salleh (PBM–190), Riad Ahmad (Pejuang–292) dan Lim Kim Joo  (Bebas–592).              

Nor Hayati adalah penyandang kerusi DUN Maharani yang dimenangi pada PRU lalu dengan majoriti 5,674 undi.

PAS pernah memenangi kerusi DUN Maharani pada PRU12 menerusi Dr Mohammad Taslim yang memperoleh 8,154 undi menewaskan calon BN, Datuk Mohd Ismail dengan majoriti 158 undi.

Dr Mohammad berjaya mempertahankan kerusi DUN tersebut pada PRU13 dengan mengaut 12,731 undi mengalahkan calon BN, Dato’ Zulkhairi Ahmad yang mendapat 9,595 undi. – HARAKAHDAILY 16/3/2022

- Advertisement -